Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Tiga ahli Kontinjen Negara Brunei Darussalam terdiri daripada dua atlet dan seorang jurulatih pasukan karate telah berlepas ke Riyadh, Arab Saudi, bagi menyertai Kejohanan Sukan Perpaduan Islam ke-6.
Mewakili negara dalam kejohanan berkenaan ialah Awang Muhammad Nazirul bin Haji Johar yang akan menyertai acara Kata Individu Lelaki manakala Dayang Farhah Syahirah binti Mohd Shamrin akan bertanding dalam acara Kata Individu Wanita.
Kedua-dua atlet karate negara tersebut dijadualkan akan beraksi pada 11 November di Malaz Combat Hall.
Terdahulu, majlis pelepasan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Awang Shahram bin Haji Abd Rahman, diikuti dengan sesi bergambar ramai bersama para pegawai dan ahli kontinjen.
Turut hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan, wakil persatuan sukan kebangsaan serta ibu bapa dan penjaga atlet.
Sementara itu, rombongan terakhir Kontinjen Negara Brunei Darussalam dijadualkan akan berlepas ke Riyadh, Arab Saudi, pada Khamis, 13 November ini bagi menyertai acara-acara lain dalam kejohanan berprestij itu.



