Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kontinjen karate pulang bawa kejayaan

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Kontinjen karate Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada lapan orang atlet dan dua orang jurulatih telah pulang ke Negara Brunei Darussalam selepas berada di Miri, Sarawak bagi mengikuti kejohanan Sukan Malaysia ke-21 (SUKMA XXI) tahun ini.

    Hadir di Ruang Letak Kereta VIP Entrance, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, hari ini, bagi menyambut ketibaan kontinjen negara dan seterusnya mengalungkan sesandang serta memberikan ucapan tahniah ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

    Turut hadir ialah Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, KKBS, Dayang Zainab binti Haji Morshidi; Pengarah Belia dan Sukan, Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan serta keluarga para ahli pasukan.

    Pasukan karate negara pada temasya SUKMA XXI telah berjaya untuk meraih dua pingat perak dan satu pingat gangsa dengan Dayang Farhah Syahirah binti Mohamad Shamrin telah berjaya meraih pingat perak melalui acara Kata Individu Wanita dengan mengutip markah 38.6 mata.

    Sementara itu, Awangku Ahmad Munib bin Pengiran Haji Hasimudin berjaya memenangi pingat perak bagi acara Kumite Individu 55kg Lelaki.

    Pengiran Mohammad Amirrizal mengalungkan sesandang kepada Dayang Farhah Syahirah. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Pasukan karate serta keluarga mereka bergambar ramai bersama Pengiran Mohammad Amirrizal. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Pingat gangsa pula diperoleh Awang Farhin Idlan bin Mohamad Shamrin, Awang Muhammad Iqbal bin Asnan dan Awang Muhammad Syahmi Zaffran bin Bakar melalui acara Kata Berpasukan Lelaki.

    Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Dayang Farhah Syahirah menyatakan perasaan amat bersyukur atas pencapaian dalam temasya sukan berkenaan dan berharap untuk meningkatkan prestasi bagi pertandingan-pertandingan yang akan datang.

    Baginya, walaupun tewas dalam kejohanan itu, beliau telah memberikan yang terbaik dan akan terus berusaha untuk meraih kejayaan yang lebih cemerlang.

    Perkara yang serupa turut disuarakan oleh Awangku Ahmad Munib yang berharap untuk memperbaiki lagi prestasinya dan ingin mengharumkan nama negara dalam sukan berkenaan.

    Mengimbas kembali kepada perlawanan merebut pingat emas itu, beliau menyatakan bahawa dirinya telah membuat sedikit kesilapan yang membuka ruang bagi lawannya untuk meraih kemenangan.

    Beliau turut menyatakan perasaan gembira atas kejayaannya itu serta yakin prestasinya dalam perlawanan kali ini, membawa kebanggaan buat jurulatih, keluarga dan negara.

    Beliau bertekad untuk meraih pingat emas dalam kejohanan yang akan datang.

    Setakat ini, kutipan pingat bagi Negara Brunei Darussalam ialah satu pingat emas, dua pingat perak dan tiga pingat gangsa yang membawa jumlah pingat negara kepada sebanyak enam pingat keseluruhan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda