BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Dua orang ahli kontinjen Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada atlet dan jurulatih olahraga telah bertolak ke Tokyo, Jepun hari ini bagi menyertai Sukan Olimpik ke-32.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin. Sebelum itu, bacaan Doa Selamat telah dibacakan oleh Ketua Guru Ugama Kompleks Rumah Kebajikan, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Awang Mohammad Shahrin bin Sulaiman.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Timbalan Ketua Misi, Kedutaan Besar Jepun di Negara Brunei Darussalam, Kakuta Hiromi dan Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Mariam binti Ulat serta pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan.
Kontinjen Negara Brunei Darussalam menyertai sebanyak dua acara sukan iaitu olahraga dan renang. Mohd Firdaus Ar-Rasyid bin Haji Mohd Idris akan menyertai acara 200 meter dalam sukan olahraga. Manakala Muhammad Isa bin Ahmad telah menyertai acara 100 meter kuak dada dalam sukan renang.
