Monday, December 23, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kontinjen Malaysia raih 38 emas di AUG

    INDONESIA, 7 JULAI – Kontinjen negara menamatkan kempen di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 dengan aksi terpuji apabila membawa pulang 38 pingat emas selepas 11 hari berjuang bermula 26 Jun lepas.

    Jumlah 38 pingat emas itu mengatasi sasaran awal 35 emas ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) namun masih jauh jika dibandingkan dengan pencapaian terbaik Malaysia pada edisi 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand, yang menyaksikan kontinjen negara meraih 49 emas, 83 perak dan 50 gangsa.

    Momentum kutipan pingat juga sedikit perlahan apabila pingat emas ke-35 hanya diperoleh pada hari kedua terakhir saingan menerusi atlet karate, H Sureeya Shankar.

    Tuan rumah, Indonesia, memanfaatkan sebaiknya peluang beraksi di laman sendiri untuk mengungguli carta kutipan pingat dengan 126 emas, 99 perak dan 71 gangsa diikuti Thailand 53 pingat emas, 49 perak dan 29 gangsa di tempat kedua dan Malaysia dengan 38 emas, 45 perak dan 60 gangsa untuk tempat ketiga keseluruhan.

    Kem olahraga menjadi penyumbang pingat emas terbanyak dengan keseluruhan 13 pingat emas, 10 perak dan lapan gangsa diikuti kem renang yang melepasi sasaran tujuh emas dengan sembilan emas, tujuh perak dan 16 pingat gangsa.

    Gambar Envato

    Skuad judo tidak kurang hebatnya apabila membutirkan tiga emas, tiga perak dan satu gangsa manakala kem memanah menyumbang dua pingat emas pada hari terakhir AUG 2024.

    Ramalan sukan tempur iaitu karate, taekwondo dan pencak silat sebagai lubuk emas meleset apabila masing-masing menyumbang dua pingat emas, meskipun dibarisi beberapa atlet berprofil tinggi kali ini.

    Hasrat kem badminton untuk membawa pulang empat emas juga tidak tercapai apabila hanya menjelmakan dua emas selain impian kem petanque yang mahu mengutip dua pingat emas lebur apabila terpaksa berpuas hati dengan satu emas.

    Skuad bola keranjang juga hambar dan terpaksa berpuas hati dengan satu pingat perak dalam acara 5×5 wanita dan dua gangsa dalam acara 3×3 lelaki dan wanita manakala sepak takraw menyumbang satu gangsa.

    Sukan panjat tembok dan bola tampar yang tampil pada edisi 2024 kali ini, terpaksa akur apabila pulang dengan tangan kosong. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda