HANGZHOU, 22 SEPT – Kontinjen Malaysia hari ini diraikan dalam upacara khas, Majlis Sambutan Ketibaan Kontinjen di Perkampungan Atlet di sini menjelang Sukan Asia Hangzhou 2022 yang dijadual membuka tirai secara rasmi esok.
Dalam majlis itu, delegasi Malaysia diketuai Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Chong Kim Fatt bersama dua timbalannya – Datuk Mohamad Iruan Zulkefli dan Prof Madya Dr Farrah Hani Imran serta pasukan e-sukan dan ahli sekretariat daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Hujan renyai-renyai tidak menghalang tumpuan peserta kepada fokus utama acara itu yang menampilkan persembahan kebudayaan Cina seperti tarian singa, gendang, wushu dan tarian tradisional Hangzhou.
Ia diikuti ucapan alu-aluan daripada Datuk Bandar Perkampungan Sukan Asia Hangzhou, Lu Chunqiang.
Majlis itu turut menyaksikan Jalur Gemilang berkibar megah ketika lagu Negaraku dimainkan.
Turut menyertai kontinjen Malaysia pada majlis sambutan itu ialah Macau, Arab Saudi, Timor Leste, Turkmenistan dan Vietnam.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penganjur untuk upacara ini, walaupun hari ini hujan tetapi hujan tidak boleh membasahkan hati kami, hati kami memang membara (untuk bertanding).” – Bernama
