Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Seramai 19 orang terdiri daripada dua atlet sukan taekwando, 12 orang atlet sukan bola jaring dan lima orang pegawai termasuk chef de mission, pegawai perhubungan, ahli fisioterapi dan jurulatih, hari ini berlepas ke Kuching, Sarawak bagi menyertai Sukan Malaysia Ke-21 (SUKMA XXI) yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar dan seterusnya memberikan kata-kata nasihat kepada kontinjen negara ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.
Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke Negara Brunei Darussalam, Nur Ezira Mahadi serta pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan.
Kontinjen negara diketuai oleh Pemangku Pengarah Belia dan Sukan selaku Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam, Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly.
Pada edisi kali ini, atlet dan pasukan negara akan menyertai 11 acara sukan iaitu akuatik (renang), olahraga, catur, e-sukan, lawan pedang, karate, bola jaring, pencak silat, sepak takraw, taekwondo dan wusyu.
Negara Brunei Darussalam mula mengikuti SUKMA sebagai pasukan jemputan pada tahun 1996 di Negeri Pahang, Malaysia dan kali terakhir Brunei menyertai SUKMA ialah pada tahun 2022 di MSN, Kuala Lumpur.
Rombongan seterusnya akan bertolak ke Miri, Sarawak esok.


