Kontinjen negara berlepas ke Manila

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Atlet negara dari empat sukan yang di pertandingan terdiri daripada atlet lawan pedang, biliard, akuatik dan golf berlepas ke Filipina bagi menyertai kejohanan Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-30, hari ini.

Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar seterusnya memberi kata-kata semangat dan nasihat ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Zainab binti Haji Morshidi.

Sukan SEA kali ini, Negara Brunei Darussalam menyertai 14 acara sukan iaitu akuatik, olahraga, sukan biliard, lawan pedang, bola sepak, golf, karate, boling padang, bola jaring, pencak silat, polo, tekwando, boling sepuluh pin dan wusyu.

Setakat ini, Negara Brunei Darussalam telah berjaya meraih dua pingat perak dalam sukan wusyu dan kumpulan terakhir akan bertolak ke Filipina pada Rabu, 4 Disember 2019.

Negara Brunei Darussalam mula mengikuti Sukan SEA pada tahun 1977 dan hingga ke hari ini negara telah memperoleh 12 pingat emas, 51 pingat perak dan 178 pingat gangsa di mana pencapaian terbaik ialah semasa negara menjadi tuan rumah pada tahun 1999 dengan meraih empat pingat emas, 12 pingat perak dan 32 pingat gangsa.

Pada Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur, kontinjen negara telah berjaya meraih 14 pingat secara keseluruhan iaitu lima pingat perak dan sembilan pingat gangsa melalui sukan wusyu, boling padang, pencak silat, sepak takraw, bola jaring, karate dan polo.

Dayang Zainab ketika bergambar ramai bersama kontinjen negara sebelum berlepas ke Manila.