Thursday, March 20, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kontinjen negara berlepas ke Singapura

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang bakal beraksi di Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN kesembilan bertekad untuk memperbaiki lagi mutu prestasi yang ditonjolkan serta bakal memberikan saingan yang hebat sepanjang kejohanan itu dalam acara sukan yang disertai.

    Harapan itu dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Haji Azis bin Haji Nayan selaku Chef de Mission dalam temu bual ringkas sebelum kontinjen berkenaan berlepas ke Singapura di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.

    Atlet-atlet yang menyertai kejohanan berkenaan terdiri daripada pelajar pilihan daripada beberapa buah sekolah menengah yang menyertai kejohanan-kejohanan yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum.

    Sebagai persediaan, atlet-atlet berkenaan telah pun menjalani latihan pusat bermula pada Mac yang lalu di bawah bimbingan para jurulatih dan penolong jurulatih yang telah dilantik.

    Kementerian Pendidikan menerusi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (MSSBD) akan menyertai Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN kesembilan yang akan berlangsung di Singapura bermula hari ini hingga 21 Julai nanti.

    ASEAN 1- Dr Hajah Romaizah dan Haji Azis bergambar ramai bersama kontinjen MSSBD yang mewakili Negara Brunei Darussalam di kejohanan tersebut.
    ASEAN 1- Dr Hajah Romaizah dan Haji Azis bergambar ramai bersama kontinjen MSSBD yang mewakili Negara Brunei Darussalam di kejohanan tersebut.

    Kontinjen MSSBD dalam kejohanan itu nanti, terdiri daripada lapan orang pegawai dan 18 orang atlet dengan diketuai oleh Haji Azis bin Haji Nayan selaku Chef de Mission, di mana kontinjen negara akan mengambil bahagian dalam tiga acara sukan di kejohanan berkenaan iaitu Ping Pong, Sepak Takwa dan Tenpin Boling.

    Negara Brunei Darussalam akan menerima lantikan selaku Presiden ASEAN Schools Sports Council (ASSC) semasa 54th ASSC Management Committee (MC) Meeting pada 14 Julai bagi tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2019 bagi menggantikan Vietnam yang telah menjadi Presiden ASSC bagi tahun 2016 hingga 2017.

    Hadir selaku wakil Timbalan Menteri Pendidikan untuk menerima lantikan itu nanti ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda