BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada Pasukan Sepak Takraw Kebangsaan Brunei Darussalam telah selamat kembali ke tanah air pada petang kelmarin selepas menyertai kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) di Kuala Lumpur pada 18 Mei lalu.
Kontinjen negara diketuai oleh Haji Ibrahim bin Mamun selaku pengurus pasukan.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) bagi menyambut ketibaan kontinjen berkenaan ialah ahli-ahli jawatankuasa Persatuan Sepak Takraw Negara Brunei Darussalam (PESTABARU) yang terdiri daripada Timbalan Presiden, Haji Mohd Noor bin Haji Hamid, Haji Mohd Yusof bin Haji Tuah dan Roslin bin Haji Tarak.
Meskipun kontinjen negara gagal meraih sebarang pingat, pengalaman yang diperoleh adalah sangat berharga sekali gus dapat menimba ilmu dan memperbaiki kelemahan dalam permainan sepak takraw setelah berdepan dengan pasukan dari negara-negara yang lebih berpengalaman seperti Malaysia dan Thailand.
Kontinjen negara dijangka akan menyertai Piala Raja Thai di Thailand yang dijadualkan berlangsung pada September nanti.
