Thursday, July 4, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Kontinjen negara kembali ke tanah air

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Kontinjen Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi sukan futsal dan wusyu telah selamat kembali ke tanah air selepas menyertai Kejohanan Sukan Universiti ASEAN (AUG) ke-21 bagi tahun 2024 yang berlangsung di Surabaya dan Malang, Indonesia.

    Sementara itu, kontinjen sukan bola keranjang 3×3 telah kembali ke tanah air pada 29 Jun lalu.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, untuk menyambut ketibaan kontinjen berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad dan Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah bintin Haji Sulaiman.

    Turut hadir ialah Pengarah Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee, pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan dan UTB serta ahli keluarga atlet.

    Setakat ini, Kontinjen IPT berjaya meraih satu pingat emas melalui Dayang Basma binti Lachkar iaitu mahasiswi dari UTB melalui sukan wusyu kategori Taijiquan.

    Dr Haji Azman bergambar ramai bersama atlet wusyu dan futsal di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Dalam temu bual ringkas bersama media, Dayang Basma menyatakan bahawa sebelum menyertai kejohanan berkenaan, pasukan wusyu kebangsaan telah menjalani latihan intensif di China selama hampir sebulan pada Mac lalu di mana ia telah banyak membantunya serta ahli pasukan lain untuk mempersiapkan diri bagi kejohanan di China dan baru-baru ini, di Surabaya bagi AUG ke-21.

    Beliau berkata pertandingan seterusnya yang akan disertainya adalah pada Ogos iaitu Kejohanan Wusyu Taijiquan Sedunia dan September nanti bagi Kejohanan Wusyu Asia di Macau.

    Kontinjen IPT terdiri daripada 55 orang, iaitu 32 orang atlet dari IPT dan 23 orang pegawai yang diketuai oleh Pegawai Pelajaran Kanan (Teknikal), Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Dr Tang Shi Siong.

    Kontinjen IPT mengambil bahagian dalam lapan acara sukan iaitu olahraga, futsal, bola keranjang 3×3, petanque, taekwondo, pencak silat, karate dan wusyu.

    Acara sukan petanque, olahraga, taekwondo, karate dan pencak silat masih lagi berlangsung dan akan berakhir pada 6 Julai.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    NZ anjur pertandingan hapus kucing liar

    WELLINGTON, 3 JULAI – Pertandingan membunuh kucing liar yang diadakan secara tahunan di New Zealand dijangka diperluas tahun depan, kata penganjur acara hari ini,...