Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Seramai 53 anggota kontinjen negara yang terdiri daripada chef de mission, ketua urus setia, pegawai urus setia, pegawai perhubungan, ahli fisioterapi, pengurus, jurulatih dan atlet-atlet sukan akuatik, badminton, karate, olahraga, pencak silat dan sepak takraw telah kembali ke tanah air, baru-baru ini, selepas berada di Puerto Princesa, Republik Filipina bagi mengikuti Kejohanan Sukan Persahabatan BIMP-EAGA ke-11.
Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi menyambut ketibaan kontinjen negara dan seterusnya mengalungkan sesandang serta memberikan ucapan tahniah ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan) selaku menjalankan tugas Setiausaha Tetap (Kesukanan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, serta pegawai-pegawai kanan KKBS.
Pasukan pencak silat berjaya membawa pulang tiga pingat emas dan satu pingat perak melalui Nur Afifah Shaheqah binti Masli dalam acara Tunggal Wanita; Muhd Shafiq bin Sufri, Awangku Muhd Azhar Nasrullah bin Pengiran Haji Yasrizam Ayub dan Muhammad Hadi Arfan bin Haji Zulkifli bagi acara Beregu Lelaki; Nursyahindah binti Saiful Rizal, Nursyahirah Mawaddah binti Lutfi dan Nursyarafana binti Saiful Rizal dalam acara Beregu Wanita; dan Mohamad Iskandar bin Mohamad Hasan bagi acara Tunggal Lelaki.
Sementara itu, atlet sukan karate meraih satu pingat perak dan dua pingat gangsa melalui acara Kata Berpasukan Lelaki terdiri daripada Farhin Idlan bin Mohd Shamrin, Muhd Iqbal bin Asnan dan Muhd Syahmi Zaffran bin Bakar; Sa’datul Hayat binti Dr Abdul Nasir dalam acara Kata Individu Wanita; dan Muhd Bazly Syukry bin Mohd Yussof bagi acara Kata Individu Lelaki.
Pasukan badminton pula telah memenangi empat pingat gangsa melalui Muhammad Talipuddin bin Ermadena dalam acara Individu Lelaki; Mohammad Haziq bin Roze dan Muhd Izzuddin bin Ermadena dalam acara Beregu Lelaki; Nurul Asyiqin Mu’izzah binti Mohd Suhud dan Rachel Pong Xue Ting bagi acara Beregu Wanita; dan Mohammad Hakem Rahimiee bin Bakar dan Amal Norsyazawanah binti Airwan bagi acara Beregu Campuran.
Atlet sukan olahraga telah berjaya meraih satu pingat gangsa melalui Kasyful Asymawi bin Haji Khairul Arifin dalam acara 800 Meter Lelaki.
Manakala atlet sukan sepak takraw pula berjaya meraih satu pingat gangsa melalui acara Beregu Lelaki terdiri daripada Muhammad Asllyi bin Haji Asmali, Muhammad Asyraf bin Abdullah Mohamad Asrul, Mohammad Faiz Fikri bin Haji Lamit, Abdul Raziq Waqiuddin bin Abdul Rahman dan Muhammad Noramirul Alam bin Hassaidi.
Jumlah kutipan pingat bagi Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Persahabatan BIMP-EAGA ke-11 itu adalah sebanyak tiga pingat emas, dua pingat perak dan lapan pingat gangsa yang membawa jumlah keseluruhan sebanyak 13 pingat.