Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada pasukan wusyu dan olahraga telah pulang ke tanah air kelmarin selepas berada di Phnom Penh, Kemboja bagi menyertai Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-32.
Menyambut ketibaan kontinjen negara dan seterusnya mengalungkan sesandang serta memberikan ucapan tahniah di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly, serta pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan, KKBS.
Semasa pertandingan, atlet negara daripada pasukan wusyu berjaya menyumbang dua pingat emas melalui Mohammad Adi Salihin bin Roslan bagi acara Nanquan Lelaki dengan kutipan markah tertinggi iaitu 9.636 mata dan Hosea Wong Zheng Yu bagi acara dua kategori gabungan Taijiquan dan Taijijian Lelaki dengan kutipan markah tertinggi iaitu 19.189 mata.
Manakala dua pingat gangsa pula berjaya diraih melalui Dayang Basma Lachkar dengan 19.160 mata bagi acara dua kategori gabungan Taijiquan dan Taijijian Wanita serta Majdurano Joel bin Majallah Sain dan Abel Lim Wee Yuan dalam acara Duilian Lelaki dengan memperolehi 9.283 mata.


