Kontinjen negara raih lapan pingat

NAKHON SAWAN THAILAND, 30 Julai – Kontinjen dari Sekolah Sukan negara menunjukkan perncapaian yang membanggakan di Kejohanan Sekolah-Sekolah Sukan Thailand ke-20 dengan meraih lapan pingat.

Rombongan ke Thailand diketuai oleh pengetua Sekolah Sukan, Umi Kalthum binti Abdul Rahim. Kejohanan yang diadakan pada 27 Julai hingga 4 Ogos 2017 di Nakhon Sawan Thailand itu mempertandingkan 23 acara sukan. Pada tahun ini, seramai tujuh atlet menyertai kejohanan berkenaan dalam dua acara sukan iaitu sukan Pencak Silat disertai oleh lima orang atlet yang bertanding dalam acara Tanding dan acara Seni, manakala dua orang lagi atlet bertanding dalam acara Sukan Karate.

Kontinjen negara berjaya meraih lapan pingat iaitu dalam acara Sukan Pencak Silat, satu pingat gangsa berjaya diperolehi dalam acara Tanding Lelaki, dua pingat perak dalam acara Pencak Silat Seni, Seni Tunggal Lelaki dan Seni Tunggal Perempuan. Manakala tiga pingat perak berjaya diperolehi dalam acara Tanding oleh dua orang atlet lelaki dan seorang atlet perempuan. Atlet Sukan Karate masing-masing berjaya meraih pingat gangsa dalam kejohanan tersebut.

Kontinjen-kontinjen yang menyertai kejohanan itu terdiri daripada pelajar-pelajar dari 22 buah Sekolah Sukan Thailand dan empat dari kontinjen negara ASEAN iaitu Negara Brunei Darussalam, Singapura, Indonesia dan Malaysia.