Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kontinjen Sekolah Sukan berlepas ke Thailand

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Kontinjen seramai 11 orang dari Sekolah Sukan telah berlepas ke Thailand bagi Kejohanan Sekolah Sukan Thailand ke-24, wilayah Lampang 2023 yang bermula hari ini hingga 26 Julai.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada kontinjen berkenaan ialah Pemangku Pengetua Sekolah Sukan, Hajah Nor Aisah binti Haji Mohd Salleh.

    Kontinjen terdiri daripada empat orang atlet pencak silat iaitu Awang Muhammad Firdaus bin Muhidi, Awang Muhammad Azinuddin bin Mohammad Azree, Dayang Nur Fatin Marzuqah binti Abdullah Asrizal dan Dayang Fatin Hazirah binti Muhidi serta tiga orang atlet karate iaitu Awang Mohammad Zul Fahmi bin Roslan, Awangku Mohammad Khalil bin Pengiran Kamarul Zaman dan Awang Muhammad Haneef bin Metassan.

    Mengetuai kontinjen berkenaan ialah Chef de Mission, Awang Mohammad Helme bin Panjang yang merupakan Guru Kanan Sukan dari Sekolah Sukan yang turut disertai oleh seorang pegawai pendamping dan perubatan, serta dua orang jurulatih.

    Antara tujuan penyertaan adalah sebagai satu landasan untuk menguji prestasi atlet pelajar tempatan di samping sekolah sukan negara-negara jiran.

    Semasa ditemui pihak media, Awang Mohammad Helme menjelaskan bahawa sasaran penyertaan kontinjen pada kali ini antara lain adalah bagi mencapai ke peringkat separuh akhir atau yang lebih baik.

    Menyentuh mengenai persiapan yang dilakukan beliau mengongsikan bahawa latihan yang rapi telah dilakukan sejak awal tahun lagi di mana ia dijalankan setiap hari persekolahan di Sekolah Sukan.

    Pada masa yang sama, beliau turut menambah bahawa kesemua atlet yang terpilih pada kali ini merupakan atlet yang telah bersiap sedia untuk bersaing di luar negara dan kerap memenangi pingat pada kejohanan di dalam dan luar negara.

    Beliau seterusnya menjelaskan bahawa ini merupakan penyertaan Sekolah Sukan kali pertama sejak penularan COVID-19 dan terakhir kali menyertainya pada 2019 di mana kontinjen Sekolah Sukan berjaya meraih satu pingat emas dan tiga pingat gangsa.

    Hajah Nor Aisah dan kontinjen Sekolah Sukan bergambar ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...