Sunday, July 27, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kontinjen Sekolah Sukan pulang bawa kejayaan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Kontinjen Sekolah Sukan Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada Pasukan Olahraga dan Pasukan Pencak Silat telah mencatatkan keputusan yang membanggakan dalam penyertaan Thailand Sports School Games ke-26, Ubon Ratchathani Province Thailand 2025 yang diadakan pada 16 hingga 26 Julai lalu.

    Kontinjen seramai sembilan pelajar dari Sekolah Sukan Negara Brunei Darussalam yang mengambil bahagian dalam kejohanan berkenaan dengan 5 atlet olahraga dan 4 atlet pencak silat telah selamat kembali ke Negara Brunei Darussalam kelmarin.

    Dalam kejohanan berkenaan, atlet pencak silat berjaya meraih tiga pingat perak dan satu pingat gangsa.

    Pingat-pingat perak diraih oleh Dayang Nursyakirah Mawaddah binti Mohd Fauzi melalui kategori Tunggal Wanita 18 tahun ke bawah, Awang Muhd Ra’id Naim bin Muhd Syamsuddin melalui kategori Kelas D Tanding Lelaki di bawah umur 16 tahun dan Awang Muhd Firas Naim bin Muhd Syamsuddin melalui kategori Kelas A Tanding Lelaki di bawah umur 18 tahun.

    Awang Muhammad Asyraf Syafiee bin Norazrin pula meraih pingat gangsa melalui kategori Kelas F Tanding Lelaki di bawah 14 tahun.

    Sementara tu, atlet-atlet olahraga iaitu Awang Muhd Asyraaf Hidayatullah bin Zulhazmi, Awang Asryan bin Asran, Awang Muhammad Dubeis Waqiuddin bin Mardeny, Dayang Nurazizatul Shareena binti Ashari dan Dayang Qurratul Ain binti Irwan berjaya memecahkan rekod peribadi masing-masing dalam acara larian dan lompat jauh di bawah umur 14 tahun, 16 tahun dan 18 tahun.

    Kontinjen berkenaan diketuai oleh Chef de Mission dan juga pengurus pasukan iaitu pegawai pendidikan dari Sekolah Sukan Brunei Darussalam, Awang Muhammad Hadi Dinie bin Haji Abdul Rahman serta dua jurulatih iaitu Jurulatih Pencak Silat, Muhd Azizan bin Haji Marsad dan Jurulatih Olahraga, Nahdhatul Simaa binti Haji Sabtu.

    Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk menyambut ketibaan kontinjen dan memberikan ucapan tahniah ialah Pemangku Penolong Pengarah, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Pengiran Ali Shafie bin Pengiran Haji Abas.

    Turut hadir ialah Pengetua Sekolah Sukan, Awang Alexandar bin Bandang, Timbalan Pengetua Sukan Sekolah Sukan, Haji Mohd Azrin bin Haji Aji serta Timbalan Pengetua Pentadbiran dan Akaedemik Sekolah Sukan, Dayang Norjalina binti Haji Jaafar.

    Penyertaan kontinjen Sekolah Sukan Brunei Darussalam dalam kejohanan berkenaan adalah sebagai satu landasan untuk atlet menimba pengalaman serta menguji prestasi atlet sebelum Kejohanan ASEAN School Games di Negara Brunei Darussalam pada November nanti.

    Penyertaan terakhir Sekolah Sukan ke Thailand Sports School Games adalah pada 2023.

    Pengiran Ali Shafie menyambut dan memberikan ucapan tahniah kepada kontinjen Sekolah Sukan Brunei Darussalam yang selamat kembali.
    Pengiran Ali Shafie bergambar ramai dengan kontinjen Sekolah Sukan Brunei Darussalam – Gambar-gambar serahan Kementerian Pendidikan

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda