Friday, October 18, 2024
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kontinjen sertai misi UNIFIL, IMT

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Penghormatan yang tinggi serta tanggungjawab amat besar akan dipikul oleh seramai 30 orang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang akan berlepas untuk mengikuti penugasan misi pengaman ke Lubnan dalam Batalion Malaysia 850-7 (MALBATT 850-7) di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNIFIL) serta lapan orang anggota ABDB dan seorang pegawai Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) yang menyertai Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke-16 bagi Misi Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) di Mindanao.

    Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada anggota ABDB yang akan menyertai kontinjen ke-16 Negara Brunei Darussalam bagi misi IMT di Mindanao serta menyertai MALBATT 850-7 dalam misi pengaman UNIFIL telah berlangsung di Dewan Serba Guna, Bolkiah Garison, hari ini. Hadir pada majlis berkenaan untuk menyempurnakan penyerahan bendera ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

    Pemerintah ABDB juga memasangkan lencana IMT bagi anggota kontinjen ke-16 ke Mindanao diketuai oleh 579 Leftenan Kolonel Abdul Mutalip bin Bujang dan me-reka dijadualkan untuk bertolak ke Republik Filipina pada 30 Ogos.

    Manakala itu, kontinjen Negara Brunei Darussalam yang berkhidmat di misi pengaman UNIFIL dianggotai seramai 30 orang anggota ABDB dan diketuai oleh 787 Mejar Mohd Hishamuddin bin Haji Marzoki dan mereka dijadualkan bertolak dari Negara Brunei Darussalam pada 1 September nanti.

    Terdahulu, sebelum acara penyerahan bendera berkenaan, Majlis Bacaan Doa Selamat bagi pemergian anggota-anggota pengaman turut diadakan di Surau Ad’Difa, Bolkiah Garison. Negara Brunei Darussalam mula menyertai misi IMT di Mindanao sejak 2004 dan misi pengaman UNIFIL sejak 2008.

    Misi-misi berkenaan telah banyak memberikan pengalaman operasi yang sangat berharga kepada anggota ABDB dan PDB.

    Pemerintah ABDB diperkenalkan kepada anggota kontinjen Negara Brunei Darussalam yang berkhidmat untuk Misi Pengaman UNIFIL.
    Majlis Bacaan Doa Selamat bagi pemergian anggota turut diadakan di Surau Ad’Difa, Bolkiah Garison.
    Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali mengucapkan selamat berlepas kepada anggota-anggota kontinjen misi pengaman berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda