SEOUL, Jan 30 – Angola menamatkan semua kontraknya dengan syarikat pembinaan Korea Utara dan para pekerja diminta meninggalkan negara itu sejajar dengan sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke atas Pyongyang, lapor agensi berita Yonhap.
Dalam laporan pelaksanaan dikemukakan kepada jawatankuasa Majlis Keselamatan baru-baru ini, Angola pada November lepas telah memaklumkan keputusan itu kepada Korea Utara, untuk menamatkan kontrak projek pembinaan dengan syarikat, Mansudae Angola.
Angola dalam laporan itu berkata, dengan penamatan kontrak tersebut, Kumpulan Angola Mansudae menghentikan semua aktiviti di Angola mulai 13 November 2017 dan para pekerja diminta meninggalkan negara itu.
Langkah tersebut sejajar dengan Resolusi 2371, yang diterima pakai Majlis Keselamatan pada Ogos tahun lalu sebagai mengecam pelancaran peluru berpandu balistik antara benua oleh Korea Utara.
Angola turut mengadakan kaji selidik mengenai jumlah warga Korea Utara dan status mereka walaupun tidak mendedahkan jumlah yang tinggal di negara itu.
Hubungan diplomatik kedua-dua negara mula terjalin pada 1976. – Bernama