HERZOGENAURACH, 12 JUN – Penyerang yang menjadi buruan, Benjamin Sesko telah melanjutkan kontraknya dengan kelab Bundesliga, RB Leipzig sehingga 2029, seperti yang diumumkan oleh kelab tersebut hari ini.
Sesko, 21, menjadi tumpuan ramai selepas musim pertamanya yang mengagumkan di kelab itu. Laporan menyatakan bahawa pasukan-pasukan Liga Perdana seperti Arsenal dan Manchester United menaruh minat terhadapnya.
Penyerang Slovenia itu bermain untuk Leipzig selepas berpindah dari kelab Red Bull Salzburg pada musim panas lalu. Walaupun bermula perlahan, beliau berjaya menjaringkan 14 gol dalam 31 perlawanan Bundesliga, mencipta gol dalam tujuh perlawanan liga terakhirnya.
Penyerang berketinggian 1.95 meter itu berkata bahawa pelanjutan kontrak adalah ‘langkah yang logik’. “Saya mempunyai tahun pertama yang baik di RB Leipzig dan saya sangat gembira berada di sini. Pasukan, kelab, bandar, penyokong – keseluruhan pakej ini masih luar biasa bagi saya.”
Pelanjutan kontrak itu memberikan semangat kepada Leipzig, yang juga sedang berusaha untuk mempertahankan pinjaman dari Paris Saint-Germain, Xavi Simons, untuk musim yang akan datang.
“Benji adalah salah seorang pemain utama kami untuk musim-musim akan datang dan itulah sebabnya pelanjutan kontrak ini merupakan isyarat yang kuat,” kata Pengarah sukan Leipzig, Rouven Schroeder.
“Beliau sudah menjadi salah seorang penyerang terbaik dalam Bundesliga.” – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/06/P22-3A-AFP_13062024.jpg)