Oleh Nour Maghfirah
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Seorang kontraktor dijatuhi hukuman penjara selama 16 bulan oleh Mahkamah Majistret kelmarin, selepas didapati bersalah bersubahat dengan seorang penjawat awam dalam kesalahan berkaitan rasuah.
Majistret Harnita Zelda Skinner menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Houng Yu Kai, pemilik Syarikat Kontraktor Ari Cando, susulan sabitan pada 1 Mei lalu atas pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, Penggal 22. Houng bagaimanapun dibebaskan daripada satu tuduhan rasuah yang berasingan.
Menurut siasatan Biro Mencegah Rasuah, Houng telah bersubahat dengan Mohd Shah Nurul Ridzuan bin Haji Maiddin, seorang Pegawai Tingkat II di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), untuk mendapatkan bayaran sebanyak $1,000 tanpa pertimbangan yang sah berhubung dengan tugas rasmi pegawai berkenaan.
Mohd Shah telah bertanggungjawab memproses bayaran bagi kerja-kerja yang dijalankan oleh syarikat Houng, iaitu pemasangan mata kuasa tambahan di sebuah unit perumahan di Bangunan Lama KHEU.
Dalam kenyataan semasa menjatuhkan hukuman, mahkamah menegaskan bahawa hukuman penjara secara konsisten dikenakan bagi kesalahan di bawah Seksyen 165. Berdasarkan faktor yang meringankan, mahkamah menetapkan hukuman 16 bulan penjara, setelah mengambil kira titik permulaan selama 18 bulan. Hukuman berkuat kuasa serta-merta.
Pendakwaan dalam kes itu telah dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rozaimah binti Abdul Rahman, manakala pihak pembelaan diwakili oleh Peguam Ahmad Basuni bin Abas dari firma guaman Abrahams, Davidson & Co.
Seksyen 165 Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa penjawat awam yang menerima hadiah atau bayaran tanpa pertimbangan daripada individu yang mempunyai urusan rasmi dengan mereka boleh dikenakan hukuman denda atau penjara sehingga tujuh tahun. Peruntukan ini juga terpakai kepada sesiapa yang bersubahat dalam kesalahan sedemikian.
