Kontraktor Labuan hadapi kekurangan bahan binaan

LABUAN, 10 NOV – Pulau Labuan sedang menghadapi masalah kekurangan dan kenaikan kos bahan binaan sehingga menyebabkan banyak kontraktor gagal mengambil kesempatan daripada pembukaan semula ekonomi, sekali gus menjejaskan operasi perniagaan mereka. 

Mereka kini sedang mengeluh susulan kenaikan kos bahan binaan disebabkan kekurangan bekalan dan ini seterusnya, menganggu pelan pengurusan projek mereka. Presiden Persatuan Kontraktor G1 Labuan, Chemat Mustapha berkata kekurangan ketersediaan bahan binaan seperti simen dan batu adalah disebabkan kajian semula dasar eksport dari Sabah baru-baru ini, selain akibat penutupan beberapa kuari akibat pandemik COVID-19.

“Mengenai isu bekalan batu, Kerajaan Sabah memerlukan permit (yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli daripada pembekal utama sebelum bahan itu dibenarkan untuk dieksport ke Labuan … pengeluaran permit ini mengambil masa dan menyebabkan kelewatan bekalan ke Labuan,” katanya kepada Bernama. Chemat berkata dasar baharu berkaitan eksport batu ke Labuan telah berkuat kuasa pada Oktober lepas.

“Sebelum semakan, pengimport Labuan (syarikat bahan binaan) menggunakan borang pengisytiharan kastam K3 (Pengangkutan Barangan Antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta pengangkutan di wilayah yang sama).

“Tetapi sekarang (berkuat kuasa Oktober), mereka dikehendaki menggunakan borang K2 – untuk eksport barangan dari negara ini, yang mana proses kelulusan mengambil masa… banyak projek kerajaan terganggu disebabkan kelewatan ini,” katanya. – Bernama

Operasi perniagaan kontraktor di Pulau Labuan terjejas akibat masalah kekurangan dan kenaikan kos bahan binaan. – Bernama