ALOR GAJAH, 31 DIS – Wang simpanan seorang kontraktor berjumlah RM146,313.60 lesap dalam tempoh tiga hari akibat diperdaya sindiket pelaburan Bitcoin yang tidak wujud secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Arshad Abu berkata, ia bermula apabila lelaki berusia lingkungan 30an itu menyertai skim pelaburan dikenali sebagai MIT Investment yang diklankan di Facebook pada 26 Disember lepas, menawarkan tiga pakej pelaburan Bitcoin dikenali sebagai basic, premium serta gold.
Beliau berkata bagi pakej basic, modal yang diperlukan untuk membuat pelaburan Bitcoin ialah RM300 dan pelabur kononnya akan mendapat pulangan pelaburan antara RM8,000 hingga RM12,000 dalam masa tiga jam.
Bagi pakej premium pula, modal yang diperlukan adalah RM1,000 dengan tawaran pulangan pelaburan antara RM18,000 hingga RM25,000 dalam tempoh enam jam, manakala bagi pakej gold modalnya RM1,800 dengan pulangan antara RM30,000 hingga RM50,000.
Arshad berkata ekoran terpedaya dengan tawaran lumayan, lelaki itu kemudiannya membuat 12 transaksi pemindahan wang ke sembilan akaun bank yang diberi suspek berjumlah RM146,313.60 dalam tempoh tiga hari bermula Rabu lepas. – Bernama
