Saturday, April 26, 2025
31.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Konvensyen Belia MPK 2020 tingkat sosioekonomi masyarakat

    Oleh Yusrin Junaidi

    TUTONG, 3 SEPT – Sebagai kesinambungan Konvensyen Belia Majlis Perundingan Kampung (MPK) 2020 yang telah diadakan pada 26 Februari lalu, Jabatan Daerah Tutong, Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong dan Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Daerah Tutong menganjurkan Program Kebeliaan 3K, MPK Daerah Tutong.

    Program berkenaan telah dilancarkan oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Abdul Walid bin Haji Matassan pada majlis yang berlangsung di Dewan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong hari ini.

    Menurut kenyataan yang diberikan, enam buah kumpulan yang terdiri daripada 22 orang belia dan beliawanis MPK Daerah Tutong akan melaksanakan projek sebenar dengan misi dan visi program untuk memberi keutamaan kepada meningkatkan sosioekonomi masyarakat kampung.

    Dalam masa yang sama dapat membantu meningkatkan kapasiti diri para belia melalui aktiviti hands on yang lebih mencabar.

    Program Kebeliaan 3K adalah wadah ke arah menyediakan platform kepada belia bagi melahirkan kumpulan belia sebagai penggerak aktiviti dan kegiatan MPK yang menjurus kepada tiga aspek iaitu kepimpinan, kemasyarakatan dan keusahawanan.

    Tiga aspek tersebut diharapkan akan mampu menyumbang kepada kemajuan yang progresif dan mapan di peringkat kampung. Ia berkait rapat dengan dasar pembangunan belia negara ke arah melahirkan belia-belia yang berdikari, proaktif dan berdaya maju. Dalam perspektif MPK, belia merupakan antara komponen utama bagi melengkapkan jentera pentadbiran yang lebih komprehensif dan mantap ke arah mengimbangi kemajuan semasa.

    Di antara tujuan dan matlamat program diadakan ialah untuk melahirkan belia-belia yang boleh diharapkan, berkaliber dan cemerlang dalam kepimpinan MPK selain memberi pendedahan kepada belia MPK dengan projek sebenar ke arah meningkatkan kapasiti diri dalam membuat keputusan, merancang dan melaksana bagi mewujudkan mekanisme terbaik, berdaya maju, berinovasi, kreatif, berdayatahan dan boleh pasar ke arah menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi masyarakat kampung.

    Enam buah kumpulan yang terdiri daripada 22 orang belia dan beliawanis MPK Daerah Tutong akan melaksanakan projek dengan misi dan visi program untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat kampung.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda