Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Konvensyen ILO bincang keselamatan, kesihatan tempat kerja

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) hari ini telah merasmikan Bengkel Tripartit Kebangsaan bagi Ratifikasi dan Pelaksanaan Asas Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) Nombor 155 dan Nombor 187 di Hotel Radisson, di sini.

    Bengkel yang menumpukan kepada ciri-ciri teras terhadap dua konvensyen ILO yang penting iaitu Konvensyen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, 1981 (Nombor 155) dan Rangka Kerja Promosi untuk Konvensyen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, 2006 (Nombor 187) itu diadakan ke arah menuju langkah yang selaras dengan matlamat kedua wawasan negara 2035 iaitu memastikan kesihatan dan keselamatan tempat kerja bertaraf antarabangsa serta sokongan daripada ILO.

    Hadir pada majlis perasmian bengkel berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Saliminan bin Haji Burut.

    Dalam kata alu-aluannya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sementara di SHENA, Haji Junit bin Haji Zakaria menekankan matlamat Negara Brunei Darussalam adalah untuk membangunkan dan melaksanakan dasar kebangsaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang menyeluruh.

    Ia dilaksanakan dengan tujuan untuk menetapkan garis panduan dan piawaian yang jelas berkaitan dengan perlindungan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja bagi sesiapa yang bekerja.

    Awang Salminan bergambar ramai dengan pakar ILO serta para pembentang bengkel tersebut yang berlangsung di Hotel Radisson, di ibu negara, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Haji Junit menyampaikan kata alu-aluannya di perasmian bengkel yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Antara peserta yang menyertai bengkel berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Haji Junit turut menyatakan bahawa ia adalah sejajar dengan keperluan yang ditetapkan di bawah kedua-dua Konvensyen ILO C155 dan C187, yang mana Negara Brunei Darussalam adalah dalam perancangan untuk meratifikasinya.

    Bengkel itu mengumpulkan peserta-peserta daripada agensi kerajaan dan pihak berkepentingan industri yang relevan dalam sebuah forum tripartit untuk membincangkan secara konstruktif mengenai keadaan semasa keselamatan dan kesihatan di tempat kerja di Negara Brunei Darussalam, aspek-aspek utama bagi sebuah dasar keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) kebangsaan serta program-program kebangsaan OSH.

    Semasa bengkel itu, pakar-pakar yang melawat akan membentangkan mengenai sistem penyeliaan dan tindakan ILO yang berkaitan dengan piawaian buruh antarabangsa, peranan majikan dan pekerja dalam keselamatan dan kesihatan tempat kerja serta peralatan ILO yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

    Para peserta juga diberikan peluang untuk membincangkan secara kolektif mengenai OSH daripada perspektif penggubal dasar, majikan dan pekerja.

    Di samping itu, misi pakar ILO ke Negara Brunei Darussalam juga akan menyaksikan penganjuran bengkel kedua yang membentangkan mengenai Sistem Kelayakan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Jawatankuasa OSH serta Sistem Pengurusan OSH yang akan disertai oleh pegawai-pegawai dan pengurus keselamatan dan kesihatan tempat kerja.

    Inisiatif itu menumpukan kepada membina kefahaman mengenai syarat-syarat ILO dalam penilaian pakar keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta juga mengenal pasti peranan penting mereka dalam memastikan keselamatan tempat kerja.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...