Thursday, September 19, 2024
34.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Konvensyen Pemimpin Muda Brunei 2024 buka tirai

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Konvensyen Pemimpin Muda Brunei (BYLC) 2024, yang bertujuan untuk memperkasa golongan belia negara dalam mencapai Wawasan Brunei 2035, telah membuka tirainya hari ini di Auditorium Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

    Konvensyen kali ke-5 itu dianjurkan oleh Perspective Insan Academy dan Ar-Razaq Kifayah Management, serta berlangsung selama tiga hari, menghimpunkan lebih 150 pemimpin belia dan profesional berusia antara 15 hingga 45 tahun. Matlamat utama konvensyen adalah untuk menggalakkan penyertaan belia dalam usaha mencapai Wawasan Brunei 2035, dengan penekanan kepada inovasi dan pembangunan sosial.

    Antara rakan strategik yang bekerjasama dalam menjayakan konvensyen ini ialah UNISSA, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), dan Pejabat Wawasan Brunei, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

    Hari pertama konvensyen dimulakan dengan sesi Youth Snapshot: Inspirational Youth yang menampilkan mentor-mentor belia yang telah memberi inspirasi melalui pencapaian mereka.

    Antara yang tampil berkongsi pengalaman ialah pengasas bersama Young Professionals Network (YPN) Brunei, Awang Mohammad Ashmeer bin Imtiaz Ahmad; perintis Mixed Martial Arts (MMA) dan Brazilian Jiu Jitsu (BJJ) Brunei, Awang Ahmed Faez bin Anuar; usahawan sosial, Dayang Fatin Afiqah binti Mohd Asrul Saniy; dan pengasas bersama 27supplyco serta Heritage Bakwa, Awang Rayyan Sufian. Moderator bagi sesi tersebut ialah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Al-Huffaz Management, Haji Mohammad Loqman Al Hakim bin Haji Hamdan.

    Antara peserta yang mengikuti BYLC ke-5 di Auditorium UNISSA, pada hari pertama. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Para peserta mengadakan perbincangan pada satu sesi yang diadakan semasa konvensyen tersebut. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Para peserta turut menyertai sesi Health and Mobility Break sebelum menghadiri taklimat yang disampaikan oleh Sekretariat Wawasan Brunei 2035 mengenai matlamat negara untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi, dan berjaya.

    Sesi Breakout: Identifying Key Issues + Ideation SWOT diadakan untuk mengenal pasti isu-isu utama dan melakukan analisis SWOT bagi membangunkan strategi yang praktikal dan relevan.

    Pada sebelah petang, forum bertajuk Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya menampilkan panel-panel jemputan termasuk Ahli Psikologi Pendidikan, Pengiran Salimatul Sa’ada binti Pengiran Mohd Saleh; Ketua Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor; dan advokat kesihatan mental, Dayang Nadia Syahirah binti Haji Aji.

    Moderator bagi forum tersebut ialah Duta Muda Wanita Asia Pasifik dan Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD), Dayang Nurul Wafaa’ binti Awang Mohammad.

    Konvensyen turut menyajikan sesi Breakout yang memberi peluang kepada para peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan pakar-pakar jemputan dalam pelbagai bidang sebelum menutup tirai hari pertama.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda