Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Konvensyen Pemimpin Sekolah 2021 bertemakan ‘Pemimpin Berkualiti, Pendidikan Berkualiti’ anjuran Jabatan Pengurusan Pendidik dan Jabatan Sekolah-sekolah telah melabuhkan tirainya hari ini dengan penyampaian insentif sekolah bagi sekolah-sekolah yang menunjukkan kecemerlangan dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR), GCE ‘O’ /IGCSE dan ‘A’ Levels serta Penilaian Keseluruhan Sekolah (WSE).
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan insentif berkenaan pada majlis yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.
Empat kategori insentif telah diberikan kepada sekolah yang mencapai kecemerlangan dalam PSR 2020 iaitu sekolah-sekolah yang mencapai keputusan cemerlang melepasi sasaran 90 peratus Gred A – C dalam PSR tahun 2020 dengan penganugerahan berdasarkan keramaian calon PSR; sekolah-sekolah yang menunjukkan peratus peningkatan Gred A – C dari tahun 2018 hingga 2020; sekolah-sekolah yang mencapai 90 peratus ke atas Gred A – C dari tahun 2018 hingga 2020 dan pencapaian sekolah terbaik dalam WSE.
Bagi pencapaian terbaik dalam BC-GCE ‘O’ Level dan IGCSE ‘O’ Level pula dibahagikan kepada tiga kategori insentif iaitu sekolah-sekolah yang cemerlang dalam mencapai atau melepasi sasaran 60 peratus memperoleh 5 ‘O’ Level ke atas pada tahun 2020; sekolah-sekolah yang menunjukkan peratus peningkatan dari tahun 2018 hingga 2020 memperoleh 5 ‘O’ Level ke atas dan pencapaian sekolah terbaik dalam WSE.
Pencapaian terbaik dalam BC-GCE ‘A’ Level pula dibahagikan kepada tiga kategori insentif iaitu sekolah-sekolah yang mencapai atau melepasi 80 peratus memperoleh 3 ‘A’ Level ke atas sekolah-sekolah yang menunjukkan peratus peningkatan dari tahun 2018 hingga 2020 3 ‘A’ Level ke atas dan Pencapaian sekolah terbaik dalam WSE.
Lebih kurang 280 orang peserta telah menghadiri Majlis Penutup Konvensyen Pemimpin Sekolah 2021 yang termasuk ketua-ketua jabatan, ketua-ketua unit dan pusat-pusat di bawah Kementerian Pendidikan, pemimpin sekolah kerajaan, swasta dan sekolah antarabangsa termasuk sekolah-sekolah menengah Arab.
Majlis penutup telah didahului dengan penyampaian resolusi bengkel oleh yang dipertua Majlis Pemimpin Sekolah. Terdahulu itu, pada sebelah pagi, Bengkel Pelaksanaan Panduan Pendidikan Abad ke-21 di sekolah-sekolah yang termasuk Pembelajaran Teradun telah diadakan dengan dimudahcarakan oleh ketua Pusat Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan.
Di samping itu, pengetua Sekolah Menengah Rimba II turut berkongsi amalan-amalan terbaik mengenai perubahan pengurusan dalam kepimpinan terutama mengenai pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 termasuklah memanfaatkan kaedah pembelajaran teradun.

