Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Seramai 33 orang wanita dan dua lelaki daripada pelbagai latar belakang seperti tentera, kewangan, usahawan, pengasas NGO, dan pelajar telah menghadiri Konvensyen Women Power Up Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tengara (YSEALI) di Bilik Mesyuarat, Kiarong, baru-baru ini.
Konvensyen hibrid itu dianjurkan oleh empat alumni YSEALI dari Negara Brunei Darussalam iaitu Haffizatul Johari, Nadia Aji, Syahmi Zulfadhli, dan Qayyimah Al-Zelzy.
Ia turut disertai secara maya dan fizikal oleh lebih 100 peserta dari Singapura, Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam, Myanmar, Kemboja, Laos dan Timor Leste.
Ucapan perasmian konvensyen itu disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Wanita Kemboja melalui aplikasi Zoom.
Turut hadir pada konvensyen itu ialah Pengasas Bersama Green Brunei, Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari.
Konvensyen berkenaan bertujuan untuk memperkasakan komuniti wanita bagi menyuarakan pendapat mereka tentang ketidaksamaan yang dihadapi di tempat kerja dan cara mereka menangani isu-isu ini.
Ini boleh memberi inspirasi kepada wanita lain yang bergelut dengan isu untuk bersuara dan mengambil tindakan bagi tempat kerja yang lebih saksama untuk semua.
Ia juga memberi pengetahuan dan pandangan tentang ketidaksamaan tempat kerja dan membantu memupuk sistem sokongan rangkaian untuk menyediakan generasi masa depan dalam menangani isu berkenaan lebih awal.
Beberapa topik atau isu yang dibangkitkan semasa konvensyen tersebut adalah mengenai cabaran dan keistimewaan menjadi seorang wanita di Brunei; wanita dan lelaki di tempat kerja; wanita yang bekerja dalam industri yang didominasi lelaki; sekutu dan sokongan untuk wanita; wanita dalam teknologi dan banyak lagi.
Para peserta juga membincangkan bagaimana masyarakat berbeza melihat wanita bergantung pada agama, bangsa dan umur mereka. Selain itu, mereka juga membincangkan definisi kejayaan untuk wanita, dan halangan yang dihadapi wanita dalam memegang jawatan kepimpinan di tempat kerja.