Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Konvensyen pupuk kerjasama akademik

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Universiti Teknologi Brunei (UTB) dengan kerjasama Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB) telah menganjurkan Konvensyen KUUB 2024 dengan majlis perasmiannya yang berlangsung di Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), hari ini.

    Konvensyen KUUB yang dijangka berlangsung selama tiga hari berturut-turut sehingga 22 Ogos ini merupakan acara asas bagi konsortium, yang terdiri daripada 17 ahli universiti dan institusi pengajian tinggi di seluruh Borneo dengan menghimpunkan golongan pemimpin akademik, sarjana dan penyelidik.

    Pengungkayahan konvensyen dengan membawa tema Budaya dan Seni pada tahun ini sememangnya bertujuan untuk memupuk kerjasama akademik, berkongsi pandangan penyelidikan, dan meneroka penyelesaian kepada cabaran serantau.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin yang turut menyampaikan ucapan sebelum menyempurnakan majlis perasmian konvensyen tersebut.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman selaku Pengerusi Jawatankuasa Pandu KUUB 2024.

    Sesi pertukaran MoU antara UTB dan Universiti Teknologi Swinburne, Kampus Sarawak, Malaysia. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara jemputan yang menghadiri majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Dalam pada itu, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah dalam ucapan alu-aluannya, antaranya mengongsikan Konvensyen KUUB merupakan aktiviti tahunan konsortium di mana beberapa aktiviti yang akan dilaksanakan iaitu Mesyuarat Agung Tahunan KUUB yang ketiga dengan tujuan untuk merancang aktiviti masa depan dan hala tuju seterusnya; dan Persidangan Antarabangsa Seni Kreatif, Reka Bentuk dan Teknologi (ICCArTe) 2024 dengan tema Mengharmonikan Seni dan Budaya melalui Reka Bentuk Kreatif dan Inovatif yang Mampan.

    Tujuan ICCArTe berkenaan, jelas Naib Canselor UTB lagi, adalah untuk mengharmonikan dan menyepadukan keperluan budaya dan seni serta pertimbangan ke dalam reka bentuk dan menghasilkan produk kreatif, inovatif dan mampan yang mencerminkan identiti komuniti.

    Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberikan tumpuan kepada pengintegrasian empat bidang yang berbeza iaitu seni bina, reka bentuk perindustrian atau produk, reka bentuk fesyen dan teknologi yang berkaitan dengan seni kreatif.

    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah turut menambah seminar mengenai sains terbuka dengan mengetengahkan topik mengenai pengenalan kepada prinsip-prinsip sains terbuka serta cara-cara membina rangkaian penyelidikan yang kolaboratif; dan lawatan kajian budaya BKISHHB, Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei, Muzium Alat Kebesaran Diraja dan Pameran Tekstil ASEAN di kampus UTB turut menjadi pengisian aktiviti sepanjang konvensyen tersebut.

    “Saya berharap di akhir konvensyen ini, kita akan dapat membina rangkaian yang kukuh serta mengekalkan hubungan yang erat dan profesional, sama ada dengan ahli akademik atau peserta,” ujar beliau.

    Pada majlis berkenaan turut menyaksikan sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara UTB dan Universiti Teknologi Swinburne, Kampus Sarawak, Malaysia.

    MoU bekenaan bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dan menyokong pertumbuhan bersama antara kedua-dua buah institusi.

    Acara diteruskan dengan ucaptama pertama berjudul AgriHub @Gedong: Sustainable Agriculture for Food Security yang disampaikan oleh Presiden KUUB, Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini.

    Pameran Konvensyen KUUB yang mengetengahkan pencapaian akademik dan projek penyelidikan serta pameran kebudayaan daripada universiti-universiti yang terlibat turut menjadi pengisian lawatan di akhir majlis perasmian tersebut.

    KUUB adalah himpunan universiti dan institusi pengajian tinggi khusus untuk mempromosikan kerjasama akademik, inovasi penyelidikan dan pembangunan mampan di seluruh Borneo.

    Dengan adanya Konvensyen KUUB secara tahunan itu pastinya ia sebagai acara utama bagi menyatukan minda bersama lebih-lebih lagi dalam meneroka penyelesaian bagi menangani cabaran-cabaran mendesak di rantau ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda