Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Konvoi bantuan ke Gaza hantar 9 kapal, enam lagi sedia belayar

    TUNISIA/ISTANBUL, 17 SEPT – Sebuah konvoi bantuan ke Gaza kelmarin telah mengumumkan pihaknya telah menghantar sembilan kapal ke wilayah yang dikepung itu dalam usaha memecahkan sekatan berbulan-bulan oleh Israel, lapor agensi Anadolu.

    Flotila Sumud Maghreb memaklumkan ia juga sedang bersiap sedia menghantar enam lagi kapal ke enklaf Palestin berkenaan.

    “Kami sudah menghantar sembilan kapal, terbaharu kapal Yaman pada Isnin malam,” kata Ahli Jawatankuasa Penganjur, Nabil Chenoufi kepada Anadolu. “Enam lagi Mawal, Qaysar, Florida, Tiko, Saada dan Tamar kini bersedia untuk belayar hari ini.”

    Inisiatif Afrika Utara itu merupakan sebahagian daripada flotila antarabangsa terdiri daripada hampir 50 kapal yang membawa aktivis dari Eropah, Amerika Latin, Amerika Syarikat, Pakistan, India dan Malaysia.

    Chenoufi berkata flotila berkenaan bertujuan ‘menghantar sebanyak mungkin kapal untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza dan mewujudkan koridor selamat bagi bantuan kemanusiaan.’

    Flotila Sumud Maghreb sebuah ekspedisi kemanusiaan ke Gaza berlepas dari pelabuhan Tunisia pada 16 September. – Agensi

    Seorang lagi ahli jawatankuasa, Wael Nawar dalam mesej video dari atas kapal Der Yassin berkata, “Kami kini berada di perairan antarabangsa, menghampiri perairan Itali.

    “Kapal-kapal kami belayar rapat untuk bertemu dengan flotila Sepanyol dan Itali. Perjalanan ke Gaza akan mengambil masa kira-kira lapan hari.”

    Menjelang Ahad, 16 kapal telah belayar dari pelabuhan Tunisia termasuk Gammarth, Sidi Bou Said dan Bizerte, menurut ahli jawatankuasa Khaled Boujemaa.

    Kapal pertama konvoi global itu belayar dari Bizerte pada Sabtu, selepas bergerak lebih awal dari Barcelona pada akhir Ogos dan Genoa pada 1 September dan menjelang 7 September, kumpulan dari Eropah telah tiba di perairan Tunisia untuk meneruskan pelayaran ke Gaza. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda