YANGON, 8 MEI – Satu konvoi diplomat yang melakukan perjalanan di Myanmar telah diserang oleh kumpulan bersenjata tidak dikenali, kata pegawai tentera dan seorang diplomat hari ini.
Pada Ahad, konvoi beberapa kenderaan melakukan perjalanan ke bandar Taunggyi di timur Negeri Shan, Myanmar telah diserang oleh kumpulan bersenjata tidak dikenali, kata seorang diplomat asing berpangkalan di Yangon kepada AFP tanpa mengenalkan dirinya.
“Sebuah konvoi dengan beberapa orang diplomat diserang pagi kelmarin,” kata sumber itu.
Konvoi itu membawa diplomat dari kedutaan Indonesia dan Singapura serta pegawai penyelaras bantuan kemanusiaan dari blok serantau ASEAN, tambah mereka, menekankan tiada kematian dilaporkan.
Seorang pegawai tentera kanan yang juga enggan dinamakan, mengesahkan kepada AFP bahawa sebuah konvoi telah diserang.
Pegawai dan diplomat yang melakukan perjalanan tersebut bertugas untuk ‘menyerahkan bantuan kemanusiaan,’ kata Presiden Indonesia, Joko Widodo hari ini.
“Saya kesal, dalam perjalanan, mereka telah diserang,” katanya tanpa memberikan butiran lanjut.
Myanmar dibelenggu kekacauan sejak kudeta tentera menggulingkan pentadbiran Aung San Suu Kyi dalam Februari 2021.
Krisis di Myanmar juga dijangka mendominasi sidang kemuncak pemimpin-pemimpin Asia Tenggara pada minggu ini di Indonesia. –AFP


