Konvokesyen diadakan atau ditiadakan?

Saya salah seorang bakal graduan dan wakil kepada bakal graduan yang lain ingin menimbulkan pertanyaan tentang konvokesyen bagi tahun ini.

Saya tahu bahawa negara kita masih diancam koronavirus tetapi tidak salah saya cuba mempersoalkan status ini.

Setahu saya perkumpulan ramai ketika ini belum lagi dibenarkan oleh kerajaan meskipun beberapa langkah penjarakan sosial kini dilonggarkan. Namun, baru-baru ini penyewaan ‘gown’ konvokesyen kini dibukakan secara dalam talian. Sedang status acara berkenaan belum diketahui sama ada diadakan atau sebaliknya. Pertanyaan ini timbul bagi diri saya sendiri kerana tidak mengetahui bagaimana memperoleh duit pembayaran untuk penyewaan ‘gown’ berkenaan kerana saya sendiri dan mungkin ramai lagi bakal graduan yang lain senasib dengan saya yang belum mendapat sebarang pekerjaan.

Bukan kami tidak menyimpan sebarang wang tapi hakikatnya bukan semua orang kehidupannya senang dan mudah mendapat pekerjaan. Wang yang disimpan terpaksa digunakan bagi kegunaan harian. Kami juga sudah berusaha seperti berniaga tetapi pendapatan kami tidak seberapa yang kami perolehi kerana banyak saingan dan malah apa yang kami perolehi juga sebagai modal perniagaan kami.

Justeru berikan pencerahan adakah konvokesyen ini diadakan atau tidak? Kami tidak mampu untuk membuat pembayaran jika acara ini diadakan kerana kami perlukan waktu untuk mengumpul nilai pembayaran yang diperlukan. Jikalau konvokesyen ini ditiadakan bagi saya tidak apa walau tiada kenangan untuk disimpan, asalkan kami menerima ijazah bagi kerja keras kami belajar bertahun-tahun.

Bakal graduan