Monday, October 14, 2024
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kopi Jiran imbau nostalgia zaman dahulu

    KAJANG – Di sebalik deretan rumah teres setingkat di Taman Kantan Permai di sini, tersembunyi sebuah warung kopi yang dihiasi dengan himpunan pelbagai barangan antik dan vintaj berusia puluhan tahun.

    Bukan sahaja perabotnya malah cawan, pinggan, mangkuk tingkat, meja daripada kaki mesin jahit antik dan botol-botol kaca digunakan untuk menyimpan makanan, kesemuanya kelihatan klasik dan dapat mengimbau nostalgia zaman 1960an ditambah dengan alunan lagu-lagu lama yang diputarkan.

    Pemilik warung yang dinamakan Kopi Jiran itu, Wan Atiqah Misha Mohd Hairul, 26, berkata semua barangan antik yang menghiasi warung itu adalah sebahagian daripada koleksi peribadi ibu dan bapanya yang dikumpul sejak 2013.

    “Sebenarnya, ibu bapa saya sudah lama menyimpan impian untuk membuka sebuah kafe. Jadi, apabila saya dan sepupu menyatakan hasrat untuk membuka Kopi Jiran, mereka sangat menyokong dan berkongsi idea dalam aspek dekorasi.

    “Kami bawakan konsep hiasan oriental bertujuan mengembalikan memori zaman dahulu kepada generasi hari ini supaya mereka juga dapat merasai suasana ketika era itu. Alhamdulillah ramai pelanggan suka dengan suasana dibawakan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Suasana Warung Kopi Jiran yang berlatarkan dekorasi barangan antik ketika tinjauan fotoBernama baru-baru ini. – Bernama
    Pemilik Warung Kopi Jiran Wan Atiqah Misha Mohd Hairul, 26, ketika ditemui Bernama di warung kopi miliknya baru-baru ini. – Bernama
    Pemilik Warung Kopi Jiran Wan Atiqah Misha Mohd Hairul, 26, sedang sibuk menyediakan minuman pelanggannya ketika ditemui Bernama baru-baru ini. – Bernama
    Beberapa pelanggan sedang menikmati kopi dengan berlatar belakangkan dekorasi barangan antik di warung Kopi Jiran. – Bernama
    Suasana Warung Kopi Jiran yang berlatarkan dekorasi barangan antik ketika tinjauan fotoBernama baru-baru ini. – Bernama
    Pemilik Warung Kopi Jiran Wan Atiqah Misha Mohd Hairul, 26, sedang sibuk mengambil pesanan pelanggannya ketika ditemui Bernama baru-baru ini. – Bernama
    Suasana Warung Kopi Jiran yang berlatarkan dekorasi barangan antik ketika tinjauan fotoBernama baru-baru ini. – Bernama
    Suasana Warung Kopi Jiran yang berlatarkan dekorasi barangan antik ketika tinjauan fotoBernama baru-baru ini. – Bernama

    Wan Atiqah  berkata perniagaan yang diusahakan bersama dua sepupunya, Sofia Zaireen Mohd Kamal, 36, dan Sofia Mariah Mohd Kamal, 23, itu mula beroperasi ketika Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara iaitu 31 Ogos 2021.

    “Sasaran kami ketika itu ialah penduduk kawasan sekitar sahaja supaya mudah untuk mereka menikmati secawan kopi dalam suasana santai tanpa perlu keluar jauh memandangkan keadaan pandemik ketika itu.

    “Tetapi kami tidak sangka sambutan diterima sangat menggalakkan termasuk daripada pelanggan luar dan terus menjadi bualan dalam kalangan peminat kopi sehingga tular di media sosial,” katanya.

    Menurutnya, Kopi Jiran dibuka pada setiap Khamis hingga Ahad bermula 11 pagi hingga 5 petang, boleh memuatkan 30 hingga 40 orang pelanggan pada satu-satu masa dan menerima 100 hingga 200 orang pelanggan dalam sehari.

    Beliau yang telah menetap di Kajang lebih 20 tahun berkata, mereka terpaksa mengehadkan waktu operasi Kopi Jiran bagi menghormati kawasan kejiranan dan tidak mahu jiran sekeliling merasa kurang selesa. Mengenai menu ditawarkan pula, Wan Atiqah Misha berkata Kopi Jiran menyajikan pelbagai minuman berasaskan kopi menggunakan kopi kampung lantaran keunikan dan aromanya yang memikat serta rasanya lebih segar.

    “Istimewanya, kopi kampung seperti Kopi 132 dan Kopi 133 menjadi identiti Kopi Jiran dan ia dibancuh dengan menggunakan tapis mengikut cara tradisional.

    “Kami turut menawarkan pelbagai jenis minuman lain seperti americano, mocha, caramel latte, caramel macchiato, teh, coklat dan sebagainya. Kami mahu pelanggan merasai pengalaman seperti meminum kopi jenama mahal,” katanya. Antara menu popular di Kopi Jiran pula katanya, ada nasi lemak daun pisang, roti bakar, lempeng pisang, pastri, scones, roti pelangi, kroisan dan kuih lopes.

    “Selain dibuat sendiri, makanan itu turut disediakan oleh jiran sekeliling sekali gus menjadi platform menjana pendapatan sampingan mereka,” katanya yang merancang untuk meluaskan perniagaannya di bandar itu, tahun depan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda