Tuesday, December 3, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kopi robusta Vietnam tetap jadi pilihan

    Gambar AFP

    GIA LAI, VIETNAM – Pahit dan rasa seperti tanah. Hanya sesuai untuk pembuatan kopi segera. Kopi robusta mempunyai reputasi yang buruk, tetapi sekumpulan kecil petani di Vietnam cuba mengubah nasib biji kopi tersebut apabila dunia yang semakin panas mengancam industri kopi.

    Sebagai seorang pereka fesyen di Bandar Ho Chi Minh yang mengikut perkembangan terbaharu, Tran Thi Bich Ngoc, 42, kebanyakannya mengelakkan minum kopi Vietnam, berasa hairan mengapa rasanya tidak sehebat cawan kopi dari luar negara.

    Kini, hampir satu dekad kemudian, beliau menguruskan ladang kopi sendiri dengan nama ‘Mori’ di kawasan pedalaman Central Highlands, menanam kopi robusta yang dipercayainya mampu menandingi biji kopi kegemaran dunia, arabica, dari segi kualiti dan rasa.

    “Biji kopi saya mempunyai bau buah-buahan, bunga serta rasanya kuat – tetapi dengan cara yang lembut,” beritahu Ngoc kepada AFP di ladangnya yang berdekatan dengan bandar Pleiku, di tengah-tengah kawasan penanaman kopi robusta Vietnam.

    “Petani Vietnam perlu tahu bahawa adalah mungkin untuk menjadikan biji kopi ini rasa enak.”

    Petani etnik, Ede duduk di belakang bakul berisi biji kopi di pesta rasa kopi di bandar Buon Ma Thuot di wilayah Daklak.
    Seorang pekerja memilih biji kopi di ladang kopi Mori di Plei Bau Can di kawasan tengah Vietnam, wilayah Gia Lai.
    Tran Thi Bich Ngoc memeriksa buah kopi di ladang kopi Mori.
    Seorang jurutera memeriksa biji kopi di pusat panggang kopi Trung Nguyen di bandar Buon Ma Thuot.

    Kitaran kualiti teruk

    Lama diabaikan oleh syarikat gergasi seperti Starbucks, robusta, yang mempunyai kandungan kafein hampir dua kali ganda berbanding arabica, biasanya digunakan dalam kebanyakan kopi segera, serta beberapa campuran espresso.

    Kebanyakan pakar bersetuju bahawa biji kopi tersebut mempunyai potensi, namun terperangkap dalam ‘kitaran kualiti yang buruk’, kata Mario Fernandez dari Persatuan Kopi Khas.

    “Kami mendapat kualiti yang buruk daripada robusta, oleh itu ia mempunyai reputasi yang buruk, justeru tiada sesiapa yang mahu membayar premium untuknya, dan tiada motivasi untuk meningkatkan kualitinya,” katanya.

    Namun, robusta mempunyai kelebihan berbanding pesaingnya: hasil keluarannya adalah lebih tinggi dan ia dapat bertahan suhu yang lebih tinggi dengan lebih baik.

    Perubahan iklim menimbulkan kebimbangan serius bagi industri kopi yang bernilai berbilion dolar, dengan saintis meramalkan hasil keluaran yang lebih rendah dan kawasan yang sesuai untuk penanaman semakin berkurangan.

    Arabica, yang membentuk kira-kira 60 peratus daripada pengeluaran kopi dunia, berasal dari kawasan dataran tinggi Etiopia dan Sudan Selatan, dan memerlukan suhu purata tahunan kira-kira 19 darjah Celsius.

    Robusta, walaupun tidak terkecuali daripada kesan pemanasan global, masih boleh bertahan suhu sehingga kira-kira 23 darjah Celsius.

    “Jika pengeluaran arabica di seluruh dunia mula mengalami kekurangan, maka orang perlu mencari bekalan alternatif,” kata Pham Thi Diep Giang, timbalan pengarah besar Trung Nguyen, salah satu jenama kopi terkemuka di Vietnam.

    Menurut laporan terkini kerajaan, kemerosotan bekalan arabica akibat cuaca yang ekstrem di Brazil telah membantu Vietnam memperoleh pendapatan sebanyak AS$4 bilion pada tahun 2022, peningkatan sebanyak 32 peratus berbanding tahun sebelumnya.

    Di sebuah pameran kopi di bandar Buon Ma Thuot, petani Hoang Manh Hung berusaha untuk meyakinkan pengunjung untuk mencuba minuman kopi robustanya yang ‘beraroma buah-buahan dan elegan’.

    “Saya amat berharap lebih ramai orang akan menyukai robusta, kerana ia benar-benar minuman yang ‘wow’,” beritahu Hung kepada AFP.

    Lelaki berusia 53 tahun ini telah menukarkan sebuah ladang yang menghasilkan buah kopi berkualiti rendah selama beberapa dekad, terlebih dahulu di bawah pemerintahan Perancis dan kemudian oleh ibu bapanya.

    “Kami kini dapat menghasilkan robusta dengan rasa yang benar-benar berbeza dan aroma yang disukai oleh sesiapa sahaja,” kata Hung.

    Menurut Hung, faktor utama perubahan tersebut adalah buah kopi kini dipetik dengan tangan dan hanya apabila ia benar-benar masak.

    “Dan ia adalah organik sepenuhnya,” tambahnya.

    Peroleh pengiktirafan

    Robusta pertama kali dibawa ke Vietnam oleh orang Perancis pada akhir abad ke-19, dan pada tahun 1991, negara itu mengeksport biji kopi pertamanya – 104,000 tan.

    Menjelang 2022, angka itu telah meningkat kepada 1.8 juta tan – hampir keseluruhannya sebagai bahan mentah untuk kopi segera dan campuran lain – menjadikannya pengeluar robusta terbesar di dunia dan pengeluar kopi kedua terbesar secara keseluruhan, selepas Brazil.

    Namun di luar negara, “Vietnam dianggap sebagai kopi berkualiti paling rendah yang ada,” kata Fernandez dari Persatuan Kopi Khas.

    Pengeluar yang menyasarkan kualiti yang tinggi akan menghadapi “masalah yang lebih sukar disebabkan persepsi ini,” tambahnya.

    Namun, timbulnya beberapa tanda positif. Syarikat ramalan trend WGSN mengatakan bahawa perubahan dalam sikap terhadap robusta telah bermula.

    Dan Nguyen Coffee Supply – yang mengatakan ia adalah syarikat kopi istimewa Vietnam pertama di Amerika Syarikat – kini dijual oleh rangkaian pasar raya mewah, Whole Foods.

    Sementara itu, di ladang berbukit mereka di Tengah Highland Vietnam, Hung dan Ngoc mula melihat kerja keras mereka membuahkan hasil.

    Hasil pertanian mereka semakin menerima pengiktirafan di dalam negara dan juga dijual oleh kedai dalam talian di Jerman, Amerika Syarikat dan tempat lain di Asia.

    “Ini adalah masa terbaik untuk biji kopi Vietnam berkualiti tinggi memantapkan kedudukan mereka di dunia,” kata Ngoc. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda