Friday, January 3, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kopi, teh boleh bantu cegah kanser?

    Adakah awda fikir secawan teh atau kopi pada waktu pagi hanyalah untuk menghadapi permulaan hari yang mencabar? Fikirkan lagi sekali. Minuman ini juga mungkin mengurangkan risiko awda menghidap jenis-jenis kanser tertentu, menurut analisis besar yang diterbitkan dalam jurnal saintifik, Cancer.

    Kanser kepala dan leher, termasuk di bahagian mulut, tekak dan faring, adalah antara bentuk kanser yang paling biasa.

    Menurut Anticancer Fund dan European Society for Medical Oncology, jenis kanser ini menyumbang kepada 4 peratus daripada keseluruhan kes kanser yang didiagnosis di seluruh dunia.

    Beberapa kajian telah mencadangkan kaitan antara pengambilan kopi atau teh dengan peningkatan risiko kanser jenis ini, tetapi bukti yang ada masih tidak mencukupi untuk mengesahkannya.

    Bagi menyelidik kemungkinan kaitan ini, penyelidik dari Konsortium Epidemiologi Kanser Kepala dan Leher Antarabangsa menganalisis data daripada 14 kajian yang melibatkan lebih 25,000 peserta.

    Dengan meminum kopi atau teh juga mungkin boleh mengurangkan risiko awda menghidap jenis-jenis kanser tertentu. – Freepik
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    Daripada jumlah itu, 9,548 pesakit didapati menghidap kanser kepala dan leher, manakala selebihnya berfungsi sebagai kumpulan kawalan.

    Para penyelidik mendapati bahawa meminum lebih daripada empat cawan kopi sehari dapat mengurangkan risiko keseluruhan kanser kepala dan leher sebanyak 17 peratus.

    Kopi kelihatan sangat bermanfaat dalam mengurangkan risiko kanser mulut (-30 peratus) dan tekak (-22 peratus).

    Bagi teh, manfaatnya juga tidak kurang hebat: pengambilan satu cawan atau kurang sehari dikaitkan dengan pengurangan risiko keseluruhan kanser ini sebanyak 9 peratus, dan 27 peratus untuk kanser hipofaring (iaitu bahagian tekak bawah).

    Selain itu, kopi tanpa kafein juga memberikan manfaat, dengan pengurangan risiko kanser mulut sebanyak 25 peratus.

    Namun, para penyelidik memberi amaran bahawa pengambilan teh secara berlebihan — lebih daripada satu cawan sehari — boleh meningkatkan risiko kanser larinks sebanyak 38 peratus. Dengan kata lain, teh perlu dinikmati secara sederhana.

    Penemuan ini menekankan keperluan untuk memahami dengan lebih baik kesan pelbagai minuman panas ini terhadap bahagian tubuh yang berlainan.

    “Kebiasaan minum kopi dan teh agak kompleks, dan penemuan ini menyokong keperluan untuk data tambahan serta kajian lanjut mengenai kesan kopi dan teh dalam mengurangkan risiko kanser,” kata Yuan-Chin Amy Lee, salah seorang penulis kajian, dalam satu kenyataan akhbar.

    Walaupun kajian ini kedengaran baik, Yuan-Chin Amy Lee dan rakan-rakannya menegaskan perlunya penyelidikan lanjut untuk memahami mekanisme yang terlibat dengan lebih mendalam. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda