DUBAI, 2 NOV – Sebuah kafe di Dubai kini menawarkan kopi termahal di dunia dengan harga hampir AS$1,000 secawan, yang dibancuh daripada biji kopi Panama yang dijual pada harga premium.
“Kami merasakan Dubai adalah lokasi yang paling sesuai untuk pelaburan kami,” kata Serkan Sagsoz, pengasas bersama kafe Julith yang menawarkan kopi eksklusif tersebut.
Terletak di kawasan perindustrian yang kini menjadi tumpuan peminat kopi, Julith merancang untuk menyajikan ‘sekitar 400 cawan’ kopi premium itu bermula Sabtu ini, kata Sagsoz kepada AFP.
Pada harga 3,600 dirham (sekitar AS$980), kopi tersebut menawarkan pengalaman rasa bunga-bungaan dan buah-buahan, seakan teh beraroma.
“Ada nota bunga putih seperti melur, rasa sitrus seperti oren dan bergamot serta sedikit rasa aprikot dan pic,” ujar Sagsoz yang pernah mengendalikan sebuah kafe di Turkiye.
“Ia seperti madu, lembut dan manis,” tambahnya.

Dubai sebelum ini mencatat rekod Guinness untuk kopi termahal dunia bulan lalu melalui kafe Roasters, yang menawarkan secawan kopi pada harga 2,500 dirham.
Rekod baharu itu mengejutkan sesetengah pihak, namun penduduk tempatan menganggapnya selari dengan gaya hidup mewah yang sinonim dengan kota padang pasir tersebut.
Kafe Julith memperoleh biji kopi tersebut dalam satu lelongan di Panama, selepas pertarungan sengit selama beberapa jam yang melibatkan ratusan bidaan.
Kafe itu mendakwa telah membayar harga tertinggi dalam sejarah kopi sebanyak 2.2 juta dirham (kira-kira AS$600,000) untuk 20 kilogram biji kopi ‘Nido 7 Geisha’, yang ditanam berhampiran gunung berapi Baru di Panama.
Pembeli dari Asia, peminat kopi Emirati dan pengumpul biji kopi telah menghubungi kafe tersebut untuk mendapatkan sebahagian daripada bekalan biji kopi berharga itu.
Namun, kafe itu berkata ia tidak berhasrat untuk berkongsi ‘harta karun’ kopi tersebut, kecuali sebahagian kecil yang telah diperuntukkan khas untuk keluarga pemerintah Dubai. – AFP

