Monday, March 17, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kopi Yaman, terbaik di benua Timur Tengah

    SANAA – Di salah sebuah kampung dataran tinggi di kawasan Haraaz, kira-kira 100km barat ibu kota Yaman, Sanaa, petani telah mula menanam tanaman kopi, di tengah-tengah cabaran yang sukar setelah berdepan dengan peperangan yang ganas.

    “Kami bergantung sepenuhnya kepada musim hujan untuk menyiram tanaman kopi ini sejak peperangan meletus lebih dari empat tahun yang lalu, di mana bekalan elektrik telah dipotong manakala bekalan bahan api semakin berkurangan,” kata petani, Mohsen Al-Hamassi kepada Xinhua di ladang kopinya di Kampung Al-Hutib, timur Haraaz.

    “Harga bahan api di pasaran gelap telah meningkat sebanyak tiga kali ganda, menjadikannya sukar bagi kebanyakan petani untuk menghidupkan pam air mereka sendiri malah tenaga solar untuk mengalirkan air juga sangat mahal,” katanya, sambil menambah bahawa hanya ada sesetengah petani sahaja yang mampu untuk membeli sistem tenaga suria.

    Kopi Yaman sangat dicari-cari di pasaran antarabangsa kerana rasanya yang berkualiti tinggi dan lazat, tetapi berikutan konflik yang berpanjangan dan sekatan telah menghalang petani daripada meningkatkan pengeluaran dan mengeksport tanaman mereka ke luar negara.

    Walau bagaimanapun, petani telah berusaha untuk memastikan penanaman dan pengeluaran kopi terus dilaksanakan walaupun berdepan pelbagai cabaran. Yaman merupakan pengeksport pertama kopi sejak beratus-ratus tahun yang lalu, melalui pelabuhan Laut Merah yang berkembang maju di Mocha, juga dikenali sebagai Al-Mokha, kira-kira 250km barat Haraaz.

    Yaman memanggil biji kopi ini sebagai ‘Reb Rubies’ dan petani akan menyanyikan lagu-lagu rakyat dengan kuat semasa musim menuai. – Xinhua
    Kopi Yaman sangat diminati dalam pasaran antarabangsa kerana rasanya yang berkualiti tinggi dan lazat. – Xinhua

    Pelabuhan Mocha kini berfungsi sebagai pangkalan tentera bagi pasukan gabungan tentera yang diketuai oleh Saudi, yang menyokong tentera kerajaan Yaman, Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi dan menentang kumpulan pemberontak Huthi yang bersekutu dengan Iran.

    Pasukan gabungan itu berjaya menawan semula pelabuhan pada Julai tahun lepas. Al-Hamassi, 55 telah mewarisi ladang itu daripada ayahnya, di mana nenek moyangnya telah menanam kopi selama beratus-ratus tahun lamanya. Keluarga Al-Hamassi merupakan salah satu daripada ribuan keluarga Yaman yang bergantung sepenuhnya kepada penanaman kopi untuk mencari nafkah keluarga.

    Yaman memanggil biji kopi ini sebagai ‘Reb Rubies’ dan petani akan menyanyikan lagu-lagu rakyat dengan kuat semasa musim menuai. Selepas mengumpul biji kopi dari pokok-pokok dan membungkusnya ke dalam plastik, petani akan membawa biji kopi ini ke belakang rumah mereka dan meletakkannya dalam trak, yang kemudiannya dibawa ke tanah tandus dan diletakkan atas tempat khas untuk dikeringkan di bawah sinaran matahari.

    Selepas sahaja dikeringkan, petani kemudian akan memasukkannya ke dalam beg dan menjualnya kepada peniaga-peniaga tempatan.

    Kopi merupakan salah satu produk Yaman yang paling penting, akan tetapi disebabkan oleh konflik peperangan yang berterusan, ia telah memberikan kesan yang buruk kepada petani sehingga menyebabkan penurunan dalam pengeluaran kopi.

    Yasmin, seorang pelajar di Universiti Sanaa berkata bahawa kopi adalah simbol hospitaliti Arab semasa menerima kunjungan tetamu dan simbol cinta semasa aktiviti keluarga. Dia membandingkan rasa minum kopi sama seperti ketika membaca buku, melukis atau mendengar muzik. “Saya yakin dengan meminum kopi Yaman, anda akan meminumnya sehingga ke titisan yang terakhir,” tambah Yasmin kepada media. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda