Kor Diplomatik anjur majlis perpisahan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Dalam keadaan yang luar biasa di mana Negara Brunei Darussalam serta seluruh dunia sedang berusaha tanpa lelah untuk menangani penularan wabak COVID-19, selaras dengan prosedur operasi standard yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, Kor Diplomatik mengadakan majlis perpisahan bagi ketua misi diplomatik yang bakal menamatkan perkhidmatan secara maya, hari ini.

Dalam ucapannya, Dekan Kor Diplomatik dan Duta Besar Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil Al-Maskari menyatakan penghargaan kepada kedua-dua ketua misi diplomatik yang bakal menamatkan perkhidmatan iaitu Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Negara Brunei Darussalam, TYT Mejar Jeneral (B) Abdul Aziz Tariq dan Duta Besar Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, TYT Christopher B Montero atas kejayaan me-reka mengeratkan lagi hubungan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan negara masing-masing.

TYT Sheikh Ahmed dalam ucapannya berkata bahawa sepanjang tempoh perkhidmatan, TYT Mejar Jeneral (B) Abdul Aziz Tariq berjaya untuk memajukan lagi hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Pakistan.

Sementara itu, beliau juga menyatakan bahawa sepanjang perkhidmatan TYT Christopher Montero bukan sahaja menyaksikan hubungan antara Brunei dan Filipina berkembang tetapi juga kerjasama yang meliputi pelbagai bidang.

Beliau turut menyatakan penghargaan atas usaha dan komitmen kedua-dua Tuan Yang Terutama yang bekerjasama rapat dengan kerajaan Negara Brunei Darussalam ke arah meningkatkan keadaan kerja dan kesejahteraan pekerja Pakistan dan Filipina terutama dalam situasi pandemik COVID-19.

Beliau juga amat mengagumi usaha kedua-duanya dalam terus mengekalkan hubungan yang erat dengan pelbagai ahli komuniti masing-masing dan penglibatan mereka dalam pelbagai aktiviti yang dikendalikan.

Sementara itu, kedua-dua Tuan Yang Terutama yang bakal menamatkan perkhidmatan mereka menyembahkan penghargaan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kerabat Baginda dan kerajaan Baginda serta Kor Diplomatik atas kerjasama dan sokongan sepanjang perkhidmatan mereka.

Mereka juga menyatakan penghargaan kepada dekan dan ahli-ahli Kor Diplomatik atas inisiatif mereka mengadakan majlis perpisahan secara maya dalam keadaan penularan wabak COVID-19.