Friday, April 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korban awam di Afghan meningkat

    KABUL, 6 Feb – Mangsa korban orang awam di Afghanistan pada tahun 2016 mencecah jumlah tertinggi mereka, kata PBB hari ini, dengan hampir 11,500 bukan penggempur – satu pertiga di antara mereka kanak-kanak – terbunuh atau cedera.

    Pertempuran di antara anggota keselamatan Afghan dan militan, terutamanya di kawasan berpenghuni, masih ‘merupakan punca utama orang awam terkorban’ lebih daripada dua tahun selepas misi penggempuran NATO berakhir, kata PBB, yang mulai mendokumen korban perang orang awam pada 2009.

    Lebih 3,500 kanak-kanak menjadi mangsa, pertambahan sebanyak 24 peratus dalam satu tahun, kata laporan. Ia kebanyakannya disebabkan pertambahan sebanyak 66 peratus dalam korban perang, kebanyakan mereka kanak-kanak, daripada kelengkapan tentera yang belum meletup.

    Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNAMA) berkata terdapat 11,418 korban perang awam (3,498 kematian dan 7,920 kecederaan), pertambahan sebanyak tiga peratus berbanding tahun 2015.

    Dengan keadaan tidak terjamin meningkat tatkala pertempuran merebak ke semua 34 wilayah, “UNAMA mendokumen jumlah korban perang yang tinggi daripada serangan darat, serangan berani mati dan serangan kompleks dan bahan letupan peperangan,” kata pengarah hak asasi manusia misi Danielle Bell.

    Tahun 2016 juga melihat jumlah tertinggi korban perang awam berpunca daripada serangan udara – 590, di mana 250 terbunuh, kata laporan.

    Ia adalah dua kali ganda jumlah pada tahun 2015, dengan wanita dan kanak-kanak di kawasan berpenghuni sering menjadi mangsa, seperti berhampiran dengan utara ibu negeri wilayah Kunduz pada Oktober.

    Dalam tempoh lapan tahun sejak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melancarkan laporan tahunan, konflik tersebut telah meragut 24,841 nyawa orang awam dengan 45,347 kecederaan, kata laporan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda