MARSEILLE, 10 APRIL – Pasukan pencari hari ini menemui mayat ketiga daripada runtuhan pangsapuri di Marseille, Perancis, ketika pekerja penyelamat berlumba-lumba untuk mencari lima orang yang masih hilang.
Lebih 24 jam selepas letupan yang disyaki berlaku di bangunan itu, di mana penduduk melaporkan bau gas yang kuat, berpuluh-puluh pasukan pencari dan anjing pengesan bekerja di tengah-tengah runtuhan ketika api masih marak di bawahnya.
Tetapi datuk bandar pelabuhan Mediterranean berkata pekerja penyelamat masih optimis untuk mencari mangsa yang terselamat.
“Masih ada harapan, dan selagi ada harapan, kami tidak akan berhenti,” kata Datuk Bandar Benoit Payan, di tempat kejadian.
Komander jabatan bomba bandar itu, Lionel Mathieu berkata pasukannya sedang melancarkan perjuangan menyaingi masa.
“Api belum menjangkau semua bahagian, jadi masih ada harapan bahawa beberapa orang masih hidup,” katanya.
Kebakaran di tapak itu menyukarkan anjing pengesan untuk mengesan lebih ramai mangsa atau mangsa yang terselamat.
Lima orang di bangunan jiran mengalami kecederaan ringan dalam letupan dan runtuhan yang berlaku sekitar 12:40 pagi kelmarin.
Punca letupan masih belum dipastikan, tetapi penyiasat sedang melihat kemungkinan ia adalah akibat kebocoran gas. – AFP


