Korban banjir 184, sejuta dipindahkan

NEW DELHI, 12 OGOS – Pihak berkuasa India memindahkan sekitar sejuta orang ke kem-kem kecemasan dalam masa beberapa hari ini, ketika angka kematian akibat banjir monsun meningkat kepada sekurang-kurangnya 184 orang.

Negeri selatan, Kerala, sebuah hab pelancongan yang terkenal kerana pantainya yang cantik, resort pinggir bukit dan tasik, merupakan kawasan paling teruk terjejas dalam dua tahun berturut-turut, memaksa penutupan lapangan terbang antarabangsa Kochi selama tiga hari.

“Sekurang-kurangnya 76 orang mati, 58 lagi hilang dan 32 lagi cedera,” kata Pramod Kumar, jurucakap polis Kerala memberitahu AFP.

Sekitar 288,000 orang di seluruh negeri itu paling teruk terjejas di daerah Wayanad, Malappuram dan Kozhikode sudah pun dipindahkan ke kem bantuan. Manakala 42 orang lagi maut di negeri jiran Karnataka yang juga menyaksikan banjir terburuknya dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kami sudah memindahkan lebih 580,000 orang,” kata pegawai kanan kerajaan negeri Karnataka memberitahu AFP.

Kebanyakan lebuh raya utama dan jalan raya di kawasan terbabit rosak atau terputus hubungan akibat air yang semakin naik.

Kakitangan kecemasan tempatan dan pasukan tentera darat, laut dan udara sudah pun dikerahkan bagi operasi mencari, menyelamat dan bantuan. – AFP

Seorang penternak membantu sapinya meredah banjir di sebuah jalan berhampiran Jamkhandi Taluk di negeri Karnataka, 525km ke utara Bangalore, selatan India. Banjir di Kerala dan Karnataka semakin memburuk dengan hampir sejuta orang dipindahkan manakala 184 lagi maut. – AFP