NEW DELHI, 24 Ogos – Jumlah kematian akibat banjir yang melanda Asia Selatan telah meningkat melebihi 1,000, kata pegawai hari ini, tatkala kumpulan menyelamat cuba sampai kepada berjuta-juta penduduk yang terkandas akibat bencana monsun paling teruk di rantau dalam beberapa tahun ini.
Beribu-ribu tentera dan kakitangan kecemasan telah dihantar ke seluruh India, Bamgladesh dan Nepal, di mana pihak berkuasa berkata 1,009 mayat telahpun ditemui sejak 10 Ogos apabila hujan lebat mulai turun.
Dua puluh enam mayat ditemui semalam di Bihar, negeri yang terjejas teruk di timur India, membawa jumlah kematian di sana kepada 367, kata Anirudh Kumar, pegawai pengurusan bencana negeri.
“Kami masih mempunyai 11 juta orang yang terjejas di 19 daerah,” beritahunya kepada AFP, menambah 450,000 mangsa banjir yang dipindah telahpun mendapatkan perlindungan di tempat perlindungan kerajaan.
Di Uttar Pradesh, banjir telah menenggelamkan hampir separuh negeri yang mempunyai 220 juta penduduk dan paling ramai di India.
Jurucakap agensi pengurusan bencana T P Gupta memberitahu AFP 82 orang telahpun meninggal dunia dan lebih dua juta terjejas oleh bencana di sana.
Negeri itu bersempadan dengan Nepal, di mana 146 orang telah terkorban dan 80,000 buah rumah dimusnahkan dalam apa yang digelar oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai banjir paling teruk dalam 15 tahun.
Kementerian dalam negeri Nepal mengingatkan angka kematian mungkin meningkat tatkala kumpulan menyelamat sampai ke kawasan yang lebih terpencil negara miskin itu.
Di rantau Himalaya di barat laut India, runtuhan tanah berpunca daripada hujan lebat telah meragut 54 nyawa, kebanyakan mereka dalam runtuhan lumpur yang menghanyutkan dua buah bas di lereng bukit.
Situasi tersebut semakin reda di Bengal Barat dan Assam, dua buah negeri di timur dan timur laut India di mana 223 orang telah terkorban. – AFP