TOKYO, 11 Julai – Jumlah kematian akibat hujan lebat dan banjir yang melanda kawasan selatan Jepun telah mencecah 25 orang, kata kerajaan hari ini, tatkala kumpulan menyelamat bergelut mengharungi lumpur tebal untuk menyelamat lebih daripada 100 orang yang masih terkandas.
Hujan lebat berterusan diramalkan akan melanda Kyushu selepas sebahagian besar pulau selatan dimusnahkan pada minggu lalu oleh sungai melimpah, menghanyutkan jalan raya, rumah dan sekolah dan memaksa beribu-ribu orang mendapatkan perlindungan di pusat perlindungan sementara.
Namun ramai yang masih terkandas, dengan perkhidmatan kecemasan bergelut untuk sampai kepada mereka di tengah keadaan berbahaya.
Kira-kira 150 orang masih terputus hubungan pada petang semalam di wilayah yang paling teruk terjejas Fukuoka dan Oita, menurut pegawai kerajaan tempatan.
Seramai 25 orang telah terbunuh sementara sekurang-kurangnya 25 masih hilang, beritahu Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga kepada wartawan hari ini.

Kira-kira 12,000 anggota menyelamat sedang berusaha sedaya upaya untuk mencari mangsa yang selamat dan kayu hanyut menghambat usaha mencari, kata Suga.
Perdana Menteri Shinzo Abe membatalkan satu lawatan ke Estonia yang pada mulanya dirancang sebagai pusingan terakhir lawatan Eropah,yang termasuk sidang kemuncak G20 di Jerman, untuk pulang ke Tokyo pada petang ini untuk menghadapi dan mengatasi krisis.
Abe akan melawat wilayah Fukuoka dan Oita esok untuk bercakap kepada kakitangan di pusat perlindungan dan pegawai kerajaan tempatan, kata Suga.
Hujan turun lebih daripada 50 sentimeter membanjiri kawasan Kyushu dalam tempoh 12 jam pada minggu lalu,sementara hujan telah turun sekejap-sekejap sejak itu.
Agensi cuaca Jepun hari ini mengingatkan hujan lebat akan turun berterusan di Kyushu. – AFP