BEIJING, 9 OGOS – Tujuh orang dilaporkan terkorban dalam banjir kilat di barat daya China hari ini, ketika pihak berkuasa di Beijing meningkatkan tiga kali ganda jumlah kematian akibat hujan lebat di ibu negara itu.
China telah dilanda hujan lebat sejak beberapa minggu kebelakangan ini, merosakkan infrastruktur dan membanjiri kawasan pinggir bandar Beijing dan kawasan sekitarnya.
Di sisi barat daya wilayah Sichuan, banjir kilat hari ini telah meragut tujuh nyawa, menurut laporan media kerajaan.
Mangsa, yang dilaporkan sedang mengambil gambar ketika banjir tersebut melanda, adalah pelancong yang melawat satu destinasi popular.
Di Beijing, pihak berkuasa mengesahkan bahawa seramai 33 mangsa terkorban, termasuk dua pekerja penyelamat, akibat cuaca buruk baru-baru ini di ibu negara, terutamanya disebabkan oleh banjir dan bangunan runtuh, yang tiga kali ganda angka berbanding jumlah yang diumumkan pihak berkuasa pada Selasa minggu lalu.
“Saya ingin merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada mangsa yang terkorban semasa menjalankan tugas dan mangsa yang kurang bernasib baik,” kata Xia Linmao, Timbalan Ketua Bandar Beijing, dalam satu sidang media, menerusi siaran berita negara, CCTV.
Ratusan kematian dilaporkan akibat banjir di seluruh utara China, dengan pihak berkuasa Beijing mengesahkan Jumaat lalu bahawa 147 kematian adalah disebabkan bencana alam. – AFP