Sunday, May 11, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korban banjir kilat Iran meningkat 56 orang

    TEHRAN, 31 JULAI – Angka kematian akibat banjir kilat yang melanda Iran sejak beberapa hari lalu mencecah 56 orang, dengan amaran cuaca masih dikeluarkan.

    Ketua Operasi Kecemasan di Persatuan Bulan Sabit Merah Iran, Mehdi Valipour, memberitahu media tempatan kelmarin bahawa kematian bertambah dengan operasi mencari terus dipertingkatkan, lapor Agensi Anadolu.

    Beliau berkata banjir berikutan hujan lebat sejak seminggu lalu menjejaskan 20 daripada 31 wilayah di negara itu, termasuk ratusan bandar, pekan dan kampung, di samping merosakkan jalan raya dan lebuh raya utama.

    Valipour berkata setakat ini 18 kematian telah dilaporkan daripada Imamzadeh Davood dan 14 daripada Firuzkooh, dengan sekurang-kurangnya 28 orang masih dilaporkan hilang di seluruh negara.

    Gabenor Tehran Mohsen Mansuri dalam kenyataan berasingan kelmarin berkata sekitar 11 orang telah disahkan meninggal dunia di Firuzkooh, dengan empat yang lain hilang.

    Imamzadeh Davood dan Firuzkooh adalah lokasi tarikan popular di kalangan pengembara dan pendaki, selain menempatkan kuil popular yang turut rosak teruk dalam banjir terbaru itu.

    Bandar dan daerah bersebelahan Tehran, termasuk Damavand dan Rudehen, juga terjejas teruk akibat banjir, mengalami kerugian akibat kebun dan tanaman pertanian musnah, dan memaksa ribuan orang mengosongkan rumah mereka.

    Iran, sebuah negara yang sering mengalami musim kemarau yang panjang, kadang-kala dilanda banjir yang dahsyat, kebanyakannya pada musim panas. Pakar mengaitkannya dengan perubahan iklim. – Bernama

    Gambar menunjukkan Pasukan Bulan Sabit Merah Iran dan yang anggota lain memindahkan runtuhan bangunan susulan banjir kilat di kawasan Firouzkouh timur Tehran pada 30 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda