PESHAWAR, PAKISTAN, 31 JAN – Pengeboman berani mati yang berlaku di masjid dalam ibu pejabat polis daerah Peshawar dan kawasan kerajaan di barat laut Pakistan mencerminkan ‘kesilapan keselamatan’, kata pegawai semasa dan bekas pegawai ketika jumlah kematian akibat letupan dahsyat itu meningkat kepada 100 hari ini.
Letupan itu, yang memusnahkan masjid Sunni merupakan salah satu serangan paling maut ke atas pasukan keselamatan Pakistan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ia menyebabkan seramai 225 cedera, beberapa masih dalam keadaan serius di hospital, menurut Kashif Aftab Abbasi, seorang pegawai kanan di Peshawar.
Lebih banyak mayat ditemui semalam dan awal hari ini, menurut Mohammad Asim, jurucakap hospital kerajaan di Peshawar dan beberapa daripada mereka yang cedera parah meninggal dunia.
“Kebanyakan daripada mereka adalah anggota polis,” kata Asim.
Bilal Faizi, ketua pegawai penyelamat, berkata pasukan penyelamat masih bekerja hari ini di tapak itu kerana ramai orang dipercayai masih terperangkap di dalam runtuhan. Orang ramai sedang berkabung dengan mengebumikan mangsa di tanah perkuburan berbeza di bandar dan di tempat lain.
“Ia adalah kesilapan kawalan keselamatan,” kata Ghulam Ali, gabenor di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, di mana Peshawar adalah ibu kotanya.
Abbasi, pegawai yang memberikan jumlah korban terkini, bersetuju dengan kenyataan tersebut. “Terdapat kesilapan keselamatan dan ketua polis negara telah menubuhkan jawatankuasa siasatan, yang akan meneliti semua aspek pengeboman,” katanya.
“Tindakan akan diambil terhadap mereka yang cuai” menyebabkan serangan itu.
“Apabila kita tahu Tehreek-e-Taliban Pakistan aktif dan apabila kita tahu mereka telah mengancam untuk melakukan serangan, sepatutnya terdapat lebih banyak keselamatan di perkarangan polis di Peshawar,” katanya kepada The Associated Press, merujuk kepada kumpulan militan yang juga dikenali sebagai Taliban Pakistan atau TTP. – AP