MANILA, 31 JULAI – Angka kematian akibat banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh Taufan Doksuri meningkat kepada 25, manakala 20 lagi hilang, lapor Xinhua memetik agensi bencana nasional Filipina hari ini.
Banyak bahagian negara itu masih ditenggelami air ekoran hujan lebat walaupun selepas Doksuri meninggalkan Filipina minggu lepas.
Taufan Khanun, taufan keenam yang membadai Filipina tahun ini, terus meningkat hari ini, membawa hujan monsun barat daya di seluruh negara, termasuk Metro Manila.
Dalam laporan hari ini, Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) berkata Doksuri berakhir dengan mengorbankan 20 orang di utara Filipina, tiga di wilayah berhampiran Metro Manila dan dua lagi di tengah Filipina.
Agensi itu berkata 20 orang lagi hilang di utara Filipina.
Doksuri menjejaskan hampir 2.4 juta orang di negara Asia Tenggara itu, dengan lebih 50,000 orang yang hilang tempat tinggal masih berlindung di tempat perlindungan sementara. – Bernama