Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korban harian COVID-19 India cecah 3,600

    KOLKATA, 29 APRIL – Bencana koronavirus India bertambah parah hari ini dengan jumlah kematian harian mencecah lebih 3,600 ketika 40 buah negara menghantar bantuan perubatan untuk membantu negara itu menangani krisis tersebut.

    Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah telah memulakan untuk mengurangkan sekatan minggu ini ketika kempen vaksinasi telah dilaksanakan, namun pandemik berterusan memburuk di beberapa tempat di dunia.

    India menjadi antara negara yang terlibat dalam gelombang teruk itu di mana kematian dan kadar jangkitan telah meningkat dengan pantas sepanjang April ini.

    Hari ini, India melaporkan 3,645 kematian dalam tempoh 24 jam, sementara kes baharu yang disahkan memecahkan rekod global dengan lebih 379,000. Jumlah rasmi dipercayai mungkin lebih rendah daripada realitinya.

    Pandemik telah mengorbankan sekitar 3.1 juta nyawa di seluruh dunia, dengan India mencatatkan lebih 200,000 kematian.

    Di kebanyakan bandar India, hospital-hospital kekurangan katil ketika sanak saudara yang sakit bersesak-sesak di luar farmasi dan pembekal bagi ubat-ubatan dan silinder oksigen.

    “Kami berkejar ke beberapa buah hospital namun tidak diterima di mana-mana,” kata anak lelaki kepada wanita berusia 84 tahun yang meninggal di rumahnya minggu ini selepas terdesak mencari sebuah katil hospital dan oksigen di Kolkata, bandar negeri Bengal Barat.

    Kerajaan India akan membuka vaksinasi kepada semua orang dewasa bermula Sabtu ini. Ia sebelumnya telah mengehadkan suntikan kepada kumpulan berusia 45 ke atas dan kumpulan tertentu.

    Bagaimanapun, beberapa negara turut memberi amaran yang mereka tidak mempunyai simpanan vaksin yang mencukupi dan perluasan vaksin telah diancam oleh pentadbiran yang bertikai, kekeliruan berhubung harga dan masalah teknikal ke atas platform vaksin digital kerajaan. – AFP

    Pekerja kesihatan memakai alat perlindungan peribadi (PPE) ketika merawat pesakit positif koronavirus dalam dewan bankuet yang diubah menjadi pusat penjagaan COVID-19 di New Delhi pada 29 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda