Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Statistik kemalangan sepanjang lima tahun kebelakangan menunjukkan trend yang mendatar.
Namun, catatan terkini setakat Jun 2025 menunjukkan peningkatan jumlah kemalangan maut iaitu 12 mangsa berbanding tujuh bagi tempoh sama pada 2024.
Statistik berkenaan dikongsi oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar selaku Setiausaha Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) dalam Sidang Media MKKJR yang berlangsung di Bangunan MTIC, hari ini.
Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Penguasa Kanan Pang Teck Ann dan Pemangku Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat, MTIC, Awang Ridzuan bin Haji Ahmad.
Sidang media tersebut merupakan sebagai usaha berterusan meningkatkan kesedaran orang awam mengenai keselamatan jalan raya di Negara Brunei Darussalam serta juga mengongsi statistik kadar kemalangan, perangkaan kemalangan dan kesalahan-kesalahan lalu lintas jalan raya serta perangkaan kenderaan yang diambil tindakan dan dikenakan kompaun.



Secara keseluruhan, rekod menunjukkan bahawa pada 2020 mencatatkan sebanyak 1,079 kes kemalangan yang menyebabkan 341 kecederaan dan 11 maut, pada 2021 mencatatkan sebanyak 1,043 kes yang menyebabkan 343 kecederaan dan 16 maut.
Pada 2022 mencatatkan sebanyak 1,050 kes yang menyebabkan 359 kecederaan dan 18 maut, pada 2023 mencatatkan sebanyak 1,118 kes yang menyebabkan 364 kecederaan dan 14 maut serta pada 2024 mencatatkan sebanyak 1,163 kes yang menyebabkan 359 kecederaan dan 13 maut.
Tiga punca utama kemalangan maut yang dikenal pasti ialah pemanduan melebihi had laju, tidak menggunakan tali pinggang keledar dan keluar masuk simpang secara mengejut.
Selain itu, data turut menunjukkan kemalangan sendiri menggunakan kereta mencatat lebih 50 peratus kejadian, diikuti kemalangan kereta dengan kereta sebanyak 30 peratus dan kes langgar lari sebanyak 10 peratus.
Sidang media turut mengongsi statistik bagi kesalahan lalu lintas dan kenderaan komersial di mana bagi kesalahan lalu lintas, sebanyak 24,200 kompaun dikeluarkan pada 2020.
Bagi tempoh 2021–2024, jumlah kesalahan berada dalam lingkungan 14,560 hingga 18,288 kes setahun, meliputi kesalahan seperti pemandu tidak berlesen, kenderaan diubah suai tanpa kebenaran, tidak menggunakan tali pinggang keledar dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan iaitu 2022 hingga Julai 2025, sebanyak 2,475 kesalahan melibatkan kenderaan komersial direkodkan di mana antara kesalahan utama termasuk membawa lebih muatan, memandu kenderaan tidak layak dari segi keselamatan, menggunakan tayar botak, memandu tidak mempunyai sijil kelayakan sah serta mengusik atau memecahkan Speed Warning Device (SWD).
Bagi memperkukuhkan keselamatan jalan raya, MKKJR sedang dan telah melaksanakan beberapa inisiatif utama termasuk pelan strategik baharu dengan merangka Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya 2026–2030 yang lebih komprehensif bagi menggantikan Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya 2021–2025, melaksanakan Audit Jalan Raya di mana MKKJR dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya di Kementerian Pembangunan telah selesai menjalankan audit jalan raya Brunei Road Assessment Programme (BruRAP2) oleh sebuah syarikat dari New Zealand pada 2024.
Hasil daripada pengauditan berkenaan telah mendapati bahawa 76 peratus jalan raya utama di negara ini mencapai minimum tiga bintang, iaitu jalan raya yang lebih selamat dan mengurangkan risiko kecederaan serius atau kematian.
MKKJR juga sedang merancang bagi pemasangan Speed Monitoring Device di beberapa buah lokasi yang telah dikenal pasti pada September 2025 untuk mempamerkan dan memperingatkan pemandu akan had kelajuan kenderaan yang dipandu semasa melalui kawasan berkenaan serta melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan yang membawa tema, Watch Your Speed, Watch the Road.
Kempen itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan di jalan raya dengan menasihatkan supaya pemandu-pemandu tidak lalai dan mematuhi had kelajuan yang ditetapkan, di samping menumpukan perhatian semasa berada di jalan raya.
Kempen itu juga dihasratkan untuk membendung trend kemalangan yang kian meningkat dan memupuk sikap bertanggungjawab sesama pengguna di jalan raya.
MKKJR menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi undang-undang lalu lintas, khususnya dengan memastikan lesen memandu dan lesen kenderaan sah laku, kenderaan berada dalam keadaan baik, menggunakan tali pinggang keledar, tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu, mematuhi had kelajuan serta memastikan keadaan selamat sebelum keluar simpang atau membuat pusingan U.
MKKJR menekankan keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen berterusan daripada agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat umum demi kesejahteraan semua pengguna jalan raya di negara ini.

