Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korban kebakaran hutan di Chile meningkat

    CONCEPCION, 5 FEB – Ratusan hutan yang terbakar berpunca gelombang suhu panas di selatan tengah Chile meragut 23 nyawa setakat ini.

    Menteri Dalam Negeri, Carolina Toha, dalam satu kenyataan berkata sebanyak 251 lokasi membabitkan kebakaran aktif dengan 76 kebakaran meletus dalam tempoh sehari lalu.

    Tragedi itu mendorong Presiden Chile, Gabriel Boric melanjutkan bencana negara termasuk membabitkan wilayah selatan Araucania.

    Wilayah Nuble dan Biobio sudah pun diklasifikasikan sebagai kawasan bencana.

    Langkah itu membolehkan Boric mengerahkan pasukan tentera untuk membantu memadamkan kebakaran memandangkan kadar kematian terus meningkat.

    “Detik sekarang ini sangat menyakitkan dan amat sukar kerana 23 orang sudah mati,” kata Toha sambil menambah kebakaran turut mengakibatkan 554 orang cedera, manakala 16 daripadanya dalam keadaan serius.

    Suhu panas yang mencecah 40 darjah Celsius membuatkan usaha memadam api lebih sukar, bahkan ada kawasan terbakar sukar dikawal.

    Susulan tragedi itu, Boric terpaksa menangguhkan percutian apabila bergegas ke bandar Concepcion sejauh 510 kilometer dari selatan ibu negara Santiago. – AFP

    Anggota Briged Korporasi Perhutanan Nasional (CONAF) semasa memadam kebakaran di Nacimiento, wilayah Concepcion, Chile pada 4 Februari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda