Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korban nahas bas meningkat 78 orang

    GUZARA, 20 OGOS – Jumlah kematian akibat kemalangan antara bas yang membawa pendatang Afghanistan yang pulang dari Iran dan dua kenderaan lain di barat Afghanistan meningkat kepada 78 orang, kata pegawai wilayah hari ini.

    Seramai 76 terkorban dalam kemalangan di daerah Guzara wilayah Herat semalam apabila bas penumpang melanggar sebuah motosikal dan trak yang mengangkut bahan api, menyebabkannya terbakar, kata pegawai dan saksi mata.

    Dua daripada tiga mangsa yang terselamat kemudian meninggal dunia akibat kecederaan, kata pegawai hari ini.

    “Dua individu yang cedera dalam kejadian semalam meninggal dunia akibat kecederaan parah, meningkatkan jumlah mangsa kepada 78 orang,” kata kenyataan Jabatan Penerangan wilayah itu, memetik wakil hospital tentera yang menerima mangsa.

    Kira-kira 17 kanak-kanak adalah antara yang terbunuh, menurut jurucakap tentera, Mujeebullah Ansar, walaupun sumber polis wilayah menyatakan bilangannya ialah 19.

    Kebanyakan mayat tidak dapat dikenal pasti, kata ketua doktor di hospital tentera, Mohammad Janan Moqadas.

    “Terdapat banyak kebakaran… Terdapat banyak jeritan, tetapi kami tidak dapat sampai dalam jarak 50 meter untuk menyelamatkan sesiapa pun,” kata saksi mata berusia 34 tahun, Akbar Tawakoli kepada AFP.

    “Hanya tiga orang berjaya diselamatkan dari bas itu. Mereka juga terbakar dan pakaian mereka hangus,” tambahnya. – AFP

    Gambar menunjukkan sebuah bas yang musnah akibat kemalangan di Daerah Guzara, Wilayah Herat pada 20 Ogos. – AFP

     

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda