MANILA, 31 OKT – Seramai 101 orang maut manakala 69 lagi cedera akibat kejadian banjir dan tanah runtuh di Filipina yang dicetuskan ribut tropika Nalgae (Paeng), lapor Sputnik.
Menurut laporan Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Negara (NDRRMC) hari ini, ribut itu telah menjejaskan lebih 1.8 juta orang manakala 66 orang masih hilang.
Sebelum ini, NDRRMC memaklumkan 72 orang terkorban manakala 33 lagi cedera akibat Nalgae.
Lebih 12,100 orang terpaksa berpindah ke 113 pusat perlindungan sementara yang telah dibangunkan di seluruh negara. Hampir 3,500 rumah rosak, 689 kediaman musnah manakala lebih 70 jalan raya, 16 jambatan dan 58 pelabuhan terjejas akibat ribut berkenaan.
Gangguan bekalan elektrik turut dilaporkan di seluruh negara.
Sementara itu, Presiden Ferdinand Marcos mula melawat beberapa buah kawasan terjejas teruk hari ini, termasuk Noveleta, ketika agensi bantuan meng-agihkan makanan bungkusan, air minuman dan beberapa bantuan lain kepada mangsa.
Marcos mengatakan, pengosongan awal di Noveleta telah menyelamatkan banyak nyawa. “Ketika bencana itu tampak besar, jumlah kematian tidaklah tinggi, meskipun terdapat banyak kerosakan ke atas infrastruktur,” tambahnya.
Biro kaji cuaca negara memberi amaran satu lagi ribut tropika menuju ke Filipina, ketika Nalgae bergerak ke Laut China Selatan. Ia diramalkan melanda Rabu, membawakan lebih banyak hujan lebat dan kesengsaraan ke bahagian selatan dan tengah. – Bernama/AFP
